KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha memastikan harga petrol RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter walaupun berdepan tekanan kewangan memberikan subsidi bahan api itu susulan lonjakan harga minyak dan krisis tenaga melanda dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai pendekatan bagi memastikan subsidi itu dapat dikekalkan akan diambil walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Jelasnya, beberapa isu tetap menjadi perhatian termasuk sejauh mana subsidi RON95 itu dapat bertahan ekoran bebanan yang wujud pada ketika ini.
“Walaupun daripada segi tekanan kewangan sedikit membebankan kerajaan tetapi saya ingat penting juga supaya kita kurangkan beban rakyat, sebab itu kita minta kerjasama semua.
“Elakkan daripada penggunaan (kuota BUDI95) sepenuhnya, kalau pun ada peluang untuk (guna) 200 liter, tidak semestinya kita guna.
“Maknanya ada sumbangan daripada setiap orang (yang) bertanggungjawab menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, Kampung Cheras Baru, Pandan, di sini semalam.
Sebelum ini dilaporkan kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu meskipun harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu.
Kementerian Kewangan juga memaklumkan harga runcit bahan api petrol RON95 tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April adalah pada RM4.27 seliter
Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu iaitu bagi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter.
Sementara itu Anwar berkata, subsidi diesel diteruskan supaya lonjakan harga dunia itu tidak memberi tekanan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan melalui pelbagai kementerian sedang melakukan kajian mengenai keperluan pemberian subsidi pada sektor-sektor yang belum disenaraikan bagi mengurangkan tekanan mereka.
“Ada beberapa kalangan yang merasa mereka kenaikan harga diesel itu membebankan, kalau melibatkan soal peladang, petani dan nelayan itu telah dibantu.
“Tetapi kalau bidang-bidang lain, kita dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memberi perkenan supaya khutbah Solat Jumaat di negeri itu menjelaskan tentang krisis tenaga dan mengadakan solat hajat.
“Ikhtiar kita teruskan tetapi kita berdoa juga kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah kasih pada orang yang bertawakal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz telah memberikan taklimat dan perkembangan kepadanya mengenai kapal minyak negara di Selat Hormuz.
Katanya, daripada tujuh buah kapal Malaysia yang dilaporkan terkandas sebelum ini, sebuah sudah pun keluar dari selat berkenaan manakala enam buah lagi sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu giliran keluar.
“Dengan ini kita harap, insya-Allah bekalan minyak untuk April dan sebahagian Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Singapura yang menyindir Malaysia kerana berunding dengan Iran, Anwar berkata, kerajaan akan terus menjalin hubungan baik selain menyatakan pendirian tegas mengenai konflik di Asia Barat.
“Kita tidak boleh bincang tentang tindak balas Iran tetapi tidak bicara tentang kezaliman dan serangan biadab Israel ke atas Iran dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
“Dalam dasar luar kita itu jelas tetapi persahabatan dengan negara-negara jiran kita kena jaga,” katanya lagi.-UTUSAN.










