70 peratus pekerja bahagia walaupun tekanan kerja tinggi - Utusan Malaysia

70 peratus pekerja bahagia walaupun tekanan kerja tinggi

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun 70 peratus pekerja di Malaysia mengakui berasa bahagia di tempat kerja, namun isu tekanan dan kelesuan melampau mula menunjukkan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara.

Dapatan terbaharu menerusi Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja oleh Jobstreet by SEEK mendedahkan, sebahagian besar pekerja yang bahagia itu sebenarnya masih bergelut dengan tekanan kerja yang tinggi.

Kajian melibatkan 1,000 individu itu menunjukkan hanya 36 peratus pekerja berpuas hati dengan tahap tekanan mereka, manakala 41 peratus lagi mengakui berasa ‘burnout’ atau kepenatan akibat bebanan kerja.

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, walaupun gaji tetap menjadi faktor utama, kebahagiaan jangka panjang pekerja sebenarnya lebih didorong oleh rasa mempunyai ‘tujuan’ dalam kerjaya mereka.

“Dapatan kami menunjukkan 70 peratus pekerja berasa bahagia, tetapi terdapat kumpulan yang signifikan berasa tidak terlibat, letih dan tidak disokong.

“Gaji penting untuk menarik bakat, tetapi apa yang mengekalkan kebahagiaan adalah apabila pekerja merasakan kerja mereka bermakna dan mempunyai impak lebih besar daripada sekadar tugasan harian,” katanya dalam kenyataan.

Kajian itu turut mendedahkan perbezaan ketara mengikut generasi, di mana pekerja Gen Z mencatatkan tahap kebahagiaan yang lebih rendah dan tekanan yang lebih tinggi berbanding generasi Millennial dan Gen X.

Seramai 40 peratus pekerja Gen Z menyatakan bahawa pengurangan tekanan adalah faktor utama yang boleh meningkatkan kebahagiaan mereka, berbanding hanya 27 peratus dalam kalangan pekerja Gen X.

Dari sudut industri, sektor perkhidmatan profesional dan pembinaan mencatatkan tahap kebahagiaan tertinggi iaitu sebanyak 78 peratus, manakala sektor peruncitan, hospitaliti dan sukan berada di tangga terendah (55 peratus).

Tambah Nicholas, bagi majikan yang ingin mengekalkan bakat dan meningkatkan produktiviti, mereka disarankan untuk memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu mewujudkan budaya kerja yang menyokong, menghubungkan tugas harian dengan misi organisasi, serta mendengar keperluan khusus setiap generasi pekerja.

“Membina tempat kerja yang lebih bahagia bukan sahaja baik untuk pekerja, malah ia adalah tunjang utama kepada kejayaan perniagaan dalam tempoh jangka panjang,” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN