PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) menyasarkan sejuta pengguna platform gaya hidup dan pengalaman milik penuhnya, T360 dalam tempoh tiga tahun, didorong oleh pengembangan ekosistem digital yang menggabungkan hartanah, hospitaliti, runcit dan gaya hidup dalam satu platform bersepadu.
Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang, berkata, T360 versi baharu telah mencatat sekitar 50,000 pengguna berdaftar ketiika ini.
Katanya, keseluruhan ekosistem T Privilege dan T360 mempunyai kira-kira 300,000 data pengguna.
“Sasaran sejuta pengguna itu diyakini boleh dicapai berdasarkan pelan pengembangan berfasa yang sedang dilaksanakan oleh kumpulan.
“Matlamat kami adalah untuk membina satu aplikasi gaya hidup dan hartanah yang menyeluruh, bukan hanya untuk pemilik rumah tetapi juga penyewa, pelancong dan pengguna gaya hidup yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas peluncuran aplikasi yang diperbaharui tersebut sempena majlis Ganjaran dan Keistimewaan Ahli T360 di Tropicana Golf & Country Resort, kelmarin.
Ixora berkata, Tropicana terus memperkukuhkan ekosistemnya melalui dua segmen nilai tambah utama, T Journey, anak syarikat pengurusan dan perkhidmatan hospitaliti dan T360, platform gaya hidup dan pengalaman.
“Hala tuju strategik ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pembeli hartanah kami, memperluas nilai yang lebih besar melangkaui pemilikan hartanah dan memupuk gaya hidup yang lebih holistik dan terhubung untuk komuniti kami.
“Selaras di peringkat kumpulan, T360 muncul selepas pengenalan T Journey hanya beberapa bulan yang lalu.
“Inisiatif ini menangani jurang pasaran yang jelas dengan menyediakan tawaran hospitaliti dan gaya hidup kepada segmen pasaran kami, seperti pembeli rumah, pelabur, ahli, rakan niaga dan pelancong,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana, Dennis Ng berkata, sejak peluncurannya pada 2022, T360 telah berkembang menjadi ekosistem digital daripada pelbagai kemudahan bersepadu, termasuk pengurusan hartanah hinggalah kepada tawaran gaya hidup yang dikurasi.
“Berpandukan visi One Tropicana kami iaitu Menghubungkan Komuniti dan Menempa Masa Depan, acara sulung ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap pembinaan komuniti dan transformasi digital,” katanya. – UTUSAN










