Saham Padini jatuh paras terendah dalam 5 tahun susulan pembekuan akaun - Utusan Malaysia

Saham Padini jatuh paras terendah dalam 5 tahun susulan pembekuan akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Padini Holdings Bhd. jatuh pada paras terendah dalam lima tahun hari ini, susulan pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saham peruncit pakaian itu susut sehingga 15 sen atau hampir 10 peratus kepada RM1.40, paras terendah sejak November 2020.

Pada pukul 10.08 pagi tadi, sahamnya didagangkan pada RM1.50 sesaham, turun 3.23 peratus berbanding Jumaat lalu, dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.48 bilion.

Sabtu lalu, Padini mengesahkan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya dibekukan di bawah perintah berdasarkan Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu memaklumkan berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, perintah berkenaan dikeluarkan oleh SPRM berhubung siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak ketiga luar kumpulan, yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.

“Syarikat ingin menegaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku di pihak syarikat dan memahami bahawa pembekuan akaun tersebut merupakan satu prosedur yang diambil dalam perjalanan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Padini berkata, pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar bagi memberikan nasihat berhubung perkara tersebut serta sedang mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memohon relif sewajarnya bagi tujuan penyahbekuan akaun yang terlibat.

Syarikat turut menegaskan bahawa operasi harian kumpulan kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan, dengan perniagaan diteruskan seperti biasa.

Padini memaklumkan syarikat akan memberikan kemas kini lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

Dalam masa yang sama, syarikat menegaskan komitmen untuk terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan serta memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan.

Jumaat lalu, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya di bawah satu perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN