S2 Heights Aman tawar konsep kehidupan lestari

S2 Heights Aman tawar konsep kehidupan lestari

ZON mesra haiwan peliharaan serta arca seni bertajuk Family Bonding (Where Unity Forms) oleh Nizam Abdullah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJM Land Berhad memperkenalkan komponen rekreasi terbaharu di S2 Heights Aman, Seremban 2 yang merangkumi pelaburan sebanyak RM6.8 juta bagi memperkasakan gaya hidup lestari dan hubungan komuniti melalui penyediaan ruang hijau yang luas serta fasiliti moden.

Pembangunan rekreasi itu menampilkan S2 Lake Park seluas 4.86 hektar sebagai tunjang utama, selain dilengkapi dengan Kidz Venture Park seluas 1.2 hektar, zon mesra haiwan peliharaan serta pemasangan arca seni awam ikonik bertajuk “Family Bonding (Where Unity Forms)”.

Projek yang merupakan sebahagian daripada perbandaran S2 Heights Aman seluas kira-kira 161.8 hektar itu direka bagi memenuhi keperluan keluarga moden yang mahukan keseimbangan antara aktiviti luar, seni dan teknologi dalam persekitaran semula jadi yang tenang.

Di tengah-tengah S2 Lake Park, berdiri megah arca hasil karya pengukir terkenal, Nizam Abdullah yang melambangkan kekuatan perpaduan keluarga. 

Arca setinggi 6.6 meter itu menggunakan elemen logam dan keluli bagi menggambarkan ketahanan serta sokongan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, pelaburan dalam ruang rekreasi itu mencerminkan visi syarikat untuk membina perbandaran yang bukan sekadar kediaman, tetapi ruang untuk komuniti berkumpul dan beristirahat.

“Sesebuah perbandaran menjadi lebih bermakna apabila ia menawarkan ruang untuk orang ramai meluangkan masa dengan mereka yang tersayang. Di S2 Heights Aman, kami membayangkan persekitaran di mana keluarga dapat menikmati alam semula jadi dan jiran tetangga dapat berhubung.

“Pelaburan dalam landskap dan persekitaran kongsi ini bukan sahaja menyokong gaya hidup sihat, malah memperkukuh identiti perbandaran serta menyumbang kepada nilai hartanah jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menambah keunikan pembangunan itu, IJM Land turut memperkenalkan zon cahaya interaktif responsif-gerakan berskala besar pertama di Negeri Sembilan. 

Laluan sepanjang 50 meter itu mampu bertukar menjadi ruang permainan digital pada waktu malam yang memaparkan lebih 80 jenis pemandangan visual 3D interaktif.

Selain itu, kemudahan Kidz Venture Park menyediakan struktur permainan mencabar dan laluan berbasikal untuk kanak-kanak, manakala zon mesra haiwan peliharaan pula disediakan bagi memenuhi keperluan pemilik haiwan peliharaan untuk beriadah bersama komuniti.

Dari segi pembangunan kediaman, IJM Land kini telah membuka jualan untuk Sutera Fasa 2 di S2 Heights Aman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM93 juta. 

Fasa baharu ini menawarkan 104 unit rumah teres dua tingkat dengan saiz binaan bermula 1,949 kaki persegi.

Pembangunan ini turut mendapat manfaat daripada kedudukannya yang berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa, memberikan suasana udara yang lebih segar dan pemandangan hijau yang luas buat penduduknya.

Menurut IJM Land, S2 Heights Aman meneruskan kesinambungan kejayaan Seremban 2 dalam menyediakan persekitaran kehidupan yang harmoni, menggabungkan elemen seni, alam semula jadi dan kemudahan harian yang serba lengkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN