PETALING JAYA: Kerajaan digesa merombak semula struktur subsidi bahan api negara, antaranya mengurangkan subsidi RON95 secara berperingkat yang secara tidak langsung membantu kelangsungan perusahaan tempatan.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, penjimatan tersebut boleh disalurkan kepada subsidi diesel lebih bersasar bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada logistik serta penggunaan jentera.
“Ini kerana kos semakin memuncak akibat harga diesel tinggi kini dilihat menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan.
“Penyaluran semula ini boleh mengurangkan tekanan kos operasi dan menyokong usaha kesinambungan perniagaan, terutama dalam kalangan PKS sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan itu hadir ketika komuniti perniagaan berdepan kenaikan kos berterusan susulan harga diesel yang kekal tinggi, selain gangguan rantaian bekalan global dilihat menekan margin keuntungan.
Harga diesel tanpa subsidi sebelum ini dilaporkan pernah mencecah sehingga RM6.72 seliter sebelum susut sedikit kepada sekitar RM5.97 seliter untuk.tempoh seminggu yang bermula 16 April 2026.
Bagaimanapun tegas MIER, langkah pengurangan subsidi ke atas petrol RON95 itu perlu dilaksanakan secara bersasar dan bersifat sementara, dengan mengambil kira kekangan ruang fiskal kerajaan.
“Selain itu, kami mencadangkan pengurangan sementara kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lima peratus selama dua tahun, namun tidak termasuk sektor alkohol, tembakau dan perjudian,” katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan mampu memberi sedikit kelegaan segera kepada sebahagian besar pengguna dan perniagaan yang ketika ini bergelut dengan tekanan kos tinggi.
“Pada masa ini, kadar cukai jualan dikenakan kerajaan berada sekitar lima peratus atau 10 peratus, manakala cukai perkhidmatan pula ki-kira enam peratus hingga lapan peratus yang bergantung kepada sektor tertentu.
“Kami juga menggesa penyeragaman serta pengurangan duti setem bagi penstrukturan semula perniagaan dan pembayaran balik pinjaman bagi mengurangkan geseran dalam pelarasan korporat,” katanya.
Tambahnya, bagi meningkatkan lagi daya saing luaran, pihaknya turut menyarankan sokongan lebih agresif kepada pengeksport, termasuk terus memperkukuhkan peranan oleh Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank).
“Bank berkenaan dilihat berpotensi dalam membantu syarikat tempatan untuk terus berdepan dengan situasi ketidaktentuan perdagangan global yang semakin mencabar,” katanya.-UTUSAN










