Perak perkukuh agenda tenaga boleh baharu, sasar jadi hab ekonomi hijau

Perak perkukuh agenda tenaga boleh baharu, sasar jadi hab ekonomi hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negeri Perak terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi hijau negara menerusi pelaksanaan Projek Program Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP) yang melibatkan pelaburan bernilai RM5.8 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek strategik di koridor hidroelektrik Sungai Perak itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi stesen janakuasa, malah bakal menjadikan Perak sebagai Pusat Strategik Tenaga Bersih yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi.

Menurut beliau, dengan kapasiti penjanaan mencecah 650.75 megawatt (MW), projek ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Hulu Perak, sekali gus mengangkat kawasan seperti Gerik sebagai pusat sokongan ekonomi baharu yang dinamik.

“Perak bukan sekadar menyumbang kepada sektor tenaga negara, tetapi sedang membina kedudukan sebagai pemacu masa depan ekonomi hijau. Ini adalah langkah strategik jangka panjang yang akan menentukan daya tahan ekonomi negeri dalam dekad akan datang,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin pada majlis pecah tanah Fasiliti Penempatan Berpusat, baru-baru ini. 

Projek HLEP yang dilaksanakan TNB dengan kerjasama Konsortium Voith–HeiTech itu turut disokong oleh pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat yang mampu menampung kira-kira 200 tenaga kerja.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq menjelaskan, fasiliti penempatan tersebut merupakan komponen kritikal bagi memastikan kecekapan operasi projek berskala besar di samping menjamin kebajikan pekerja.

“PKNPk bertindak sebagai pemudah cara dalam penyelarasan teknikal dan kelulusan dengan pihak berkuasa bagi memastikan projek berjalan lancar. Fasiliti ini menyediakan persekitaran kondusif dan selamat agar tenaga kerja dapat beroperasi pada tahap optimum,” katanya.

Katanya, pengukuhan koridor hidroelektrik Temengor–Bersia–Kenering akan terus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan tenaga negeri, terutamanya dalam menyokong sektor teknologi tinggi dan pusat data.

Selain pembangunan infrastruktur, projek ini turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan kontraktor tempatan serta pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik dengan institusi TVET bagi melahirkan barisan tenaga kerja mahir dalam industri tenaga masa hadapan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri merangkap ADUN Temengor, Datuk Salbiah Mohamed.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN