Microsoft Elevate perkasa 80,000 peserta dengan kemahiran AI 

Microsoft Elevate perkasa 80,000 peserta dengan kemahiran AI 

GOBIND Singh (tiga dari kiri) melancarkan inisiatif Microsoft Elevate di Putrajaya semalam. -UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Microsoft Elevate yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada fasa perintis pada Januari lalu telah berjaya memperkasakan seramai 80,000 peserta daripada pelbagai latar belakang. 

Inisiatif itu bertujuan mengembangkan peluang untuk peningkatan kemahiran atau ‘upsklilling’ di Malaysia dengan pelan berfasa sehingga 2030, bermula daripada pengaktifan kemahiran dan tenaga kerja.

Dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sekretariat Majlis TVET Negara serta Biji-Biji Initiative & Mereka, usaha tersebut mencerminkan komitmen seluruh negara untuk memastikan setiap segmen masyarakat bersedia untuk era AI.

Pelancaran kerjasama yang dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo itu akan meluaskan skop agenda kemahiran Malaysia merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera, institusi pendidikan dan penjawat awam.

Menurut Gobind, sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab AI serantau, pembangunan keupayaan digital yang merangkumi semua lapisan masyarakat adalah amat penting. 

“Untuk memastikan kemajuan yang bermakna di peringkat nasional, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh. 

“Justeru, kami mengalu-alukan Microsoft Elevate, inisiatif yang disokong oleh NAIO dan Sekretariat Majlis TVET Negara serta dilaksanakan oleh Biji-Biji Initiative & Mereka dalam memperkukuh kesediaan AI,” katanya melancarkan inisiatif Microsoft Elevate di sini semalam.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, selepas memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital sejak dua tahun lalu, keutamaan kini adalah memastikan tahap penggunaan teknologi dalam kalangan rakyat dan pemain industri dapat dipertingkatkan.

“Angka yang ada menunjukkan pencapaian tersebut. Namun persoalannya sama ada teknologi itu benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan penyelesaian berkenaan dan perkara ini sememangnya dalam perhatian kita,” ujarnya.

Dalam masa sama, Gobind berkata, usaha memperluas penggunaan teknologi itu turut melibatkan kerjasama erat dengan pihak industri yang giat menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kapasiti.

Jelasnya, syarikat teknologi seperti Microsoft merupakan contoh utama yang menawarkan latihan kepada pelbagai kumpulan sasaran, selain inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian sendiri serta organisasi lain.

Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen jangka panjang Microsoft terhadap pembangunan digital dan AI Malaysia, termasuk usaha melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menerusi inisiatif AIForMYFuture, serta inisiatif Bersama Malaysia, yang telah memperkasakan 1.53 juta rakyat dengan kemahiran awan, AI dan keselamatan siber.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN