Atlas Copco labur RM10 juta perluas operasi di Malaysia  

Atlas Copco labur RM10 juta perluas operasi di Malaysia  

KHALID Shaikh (tiga, kanan) bersama Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg (empat, kiri) semasa gimik perasmian Atlas Copco dan MIDA Integrated Regional Hub di Alam Impian Seksyen 35, Shah Alam. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Atlas Copco Group memperkukuh operasi di negara ini serta rantau Asia Tenggara dengan pelaburan melebihi RM10 juta untuk ibu pejabat dan hab bersepadu baharu di Alam Impian, di sini. 

Pelaburan lapan angka itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat berkenaan di Malaysia.

Pengurus besar, Bahagian Perniagaan Teknik Pemampat Atlas Copco Malaysia and Singapura, Khalid Shaikh berkata, pembukaan fasiliti baharu itu mencerminkan perjalanan syarikat yang bermula dengan hanya 10 pekerja pada 1982 sebelum berkembang kepada lebih 250 kakitangan ketika ini.

“Fasiliti ini meningkatkan keupayaan kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui penyelarasan yang lebih pantas serta penyampaian yang lebih cekap.

“Ia juga mengukuhkan tumpuan kami terhadap pembangunan bakat tempatan dan pembinaan keupayaan jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Atlas Copco Group Malaysia di sini, semalam.

Terletak secara strategik dalam koridor pembuatan utama Selangor, fasiliti seluas 1.21 hektar atau kira-kira 12,000 meter persegi itu berfungsi sebagai hab pusat bagi Malaysia dan Asia Tenggara.

Kemudahan berkenaan menyokong fungsi perniagaan utama serta menempatkan pusat perkhidmatan kewangan bersama serantau yang menyokong pelbagai pasaran dalam kumpulan tersebut, selain menjadi pusat penyelarasan operasi di Kuantan, Pulau Pinang dan Johor.

Beliau berkata, pemilihan Shah Alam khususnya Alam Impian sebagai lokasi fasiliti itu didorong oleh kedudukannya berhampiran zon perindustrian utama serta jaringan perhubungan yang kukuh ke Pelabuhan Klang, Kuala Lumpur, lebuh raya utama dan jajaran LRT3 yang bakal siap.

“Faktor ini memperkukuh aspek logistik dan penyampaian perkhidmatan, selain memudahkan akses kepada pelanggan, rakan niaga dan pekerja.

“Selain meningkatkan kecekapan operasi, ibu pejabat baharu ini dijangka menyokong pertumbuhan bakat serta pengembangan tenaga kerja,” ujarnya.

Ketika ini, Atlas Copco Group menempatkan 273 pekerja dan merancang untuk mengambil tambahan 80 hingga 100 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus kepada peranan dalam perkhidmatan, jualan dan pemasaran.

Mengulas lanjut, Khalid Shaikh berkata, ketegangan geopolitik global yang berterusan memberikan peluang yang sangat baik untuk Malaysia. 

Menurutnya, Asia Tenggara menonjol sebagai wilayah yang stabil dengan konflik yang sangat sedikit dengan negara ini mempunyai kelebihan unik untuk menarik pelaburan langsung asing. 

“Atlas Copco terus bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan membayangkan perkongsian yang semakin berkembang ke skala yang lebih besar.  

“Pelaburan berterusan syarikat ini menawarkan prospek kerjaya yang besar bagi rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang mencari pendedahan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, profesional tempatan berpeluang menyertai kumpulan bakat global dan meneroka peluang kerjaya di pasaran seperti Australia dan New Zealand.

“Atlas Copco giat merekrut pekerja dan menawarkan program latihan amali pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan, kewangan, dan pentadbiran kepada pelajar tempatan.

“Peluang keemasan bagi golongan muda di Malaysia ini adalah untuk membina kerjaya mereka yang bermula dari peringkat bawahan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN