Matrade perkukuh Pelan Mitigasi, tingkat daya tahan eksport

Matrade perkukuh Pelan Mitigasi, tingkat daya tahan eksport negara 

REEZAL Merican Naina Merican (kiri) pada sidang media mengenai Kemas Kini Perdagangan Malaysia Suku Pertama 2026 di pusat konvensyen Matrade di sini, hari ini- UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memperhebat pelaksanaan pelan mitigasi bagi memastikan kelangsungan dan daya saing eksport negara terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya kini mentransformasikan rangkaian pejabatnya di luar negara untuk memantau serta memudah cara aliran perdagangan secara harian. 

“Pejabat-pejabat ini turut memainkan peranan aktif dalam membantu pengeksport Malaysia menyesuaikan strategi logistik, termasuk melaksanakan pengalihan laluan penghantaran ke hab dan pelabuhan yang lebih stabil seperti Sohar dan Salalah di Oman.

“Selain itu, Matrade juga meneroka penggunaan laluan alternatif melalui darat dan rel bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan maritim utama yang berisiko tinggi, khususnya dalam situasi konflik geopolitik yang boleh mengganggu rantaian bekalan global,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi perdagangan bagi suku pertama di sini hari ini.

Dalam usaha menyediakan sokongan berterusan kepada pengeksport, Matrade melancarkan Pembantu Maya Interaktif Matrade (MIVA) menerusi Platform Perdagangan Digital Madani (MDTP). 

“Platform berasaskan kecerdasan buatan (AI) ini menawarkan bantuan masa nyata sepanjang masa, membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan maklumat serta panduan berkaitan isu perdagangan dengan pantas dan efisien,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Petugas Dalaman Matrade terus mengadakan mesyuarat secara mingguan bagi menilai keberkesanan strategi semasa serta memastikan semua pejabat global bergerak selari dengan dasar dan arahan kerajaan dalam menyediakan respons nasional yang menyeluruh.

“Bagi memperkukuh lagi usaha ini, Matrade turut menubuhkan Pasukan Petugas Ketahanan Perdagangan – Konflik Asia Barat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pemain industri seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) serta penyedia perkhidmatan logistik.

“Pasukan tersebut bertujuan merangka cadangan strategik dan respons industri bagi menangani impak konflik terhadap eksport negara, termasuk isu gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik dan perubahan permintaan pasaran global,” katanya. 

Tambah Reezal Merican, langkah-langkah proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memastikan sektor eksport kekal berdaya tahan dan kompetitif di peringkat antarabangsa, meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN