PUTRAJAYA: Dana sehingga RM50 juta menerusi Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan digunakan bagi memperkenalkan bidang-bidang baharu dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana itu disediakan khusus bagi menterjemahkan pelaksanaan TVET 2.0 yang memberi tumpuan kepada bidang yang sebelum ini tidak ditawarkan di mana-mana institusi TVET.
Katanya, antara bidang yang terlibat termasuk teknologi tenaga hidrogen, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kejuruteraan maritim.
“Dana itu bagi menterjemahkan pelaksanaan kepada program TVET 2.0 dan ia digunakan untuk bidang baharu yang selama ini tidak diajarkan di mana-mana institusi TVET.
“Ia umpama pembelajaran mengenai tenaga hidrogen untuk kenderaan dan jentera terutama bagi pengeluaran tenaga. Ia termasuk bidang MRO dan kejuruteraan maritim,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bidang MRO kini menjadi pilihan utama pelajar bukan sahaja kerana faktor gaji, malah kerana peluang menjalani latihan di luar negara bersama syarikat seperti Airbus atau Boeing.
“Kerajaan turut memberikan keutamaan kepada lepasan institusi tahfiz dan pondok untuk menyertai program TVET bagi meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, penyelarasan pelaksanaan TVET di peringkat kementerian dan agensi di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara mulai bulan depan bertujuan mempercepatkan pelaksanaan TVET 2.0.
Katanya, penyelarasan itu untuk memastikan semua ketua setiausaha di 12 kementerian bersama pengarah serta ketua agensi, melaksanakan agenda TVET 2.0 dengan lebih berkesan dan pantas.
“Keperluan tenaga kerja ketika ini melebihi penawaran, justeru latihan perlu diperluaskan mengikut keperluan sektor pelaburan langsung asing (FDI).
“Sektor yang paling memerlukan tenaga kerja mahir ketika ini adalah industri MRO dan semikonduktor yang merupakan antara sektor yang paling mendesak,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana PTPK digunakan bagi memperkasa TVET 2.0. – UTUSAN










