PETALING JAYA: Orang ramai diminta berhati-hati dengan tawaran sindiket penipuan pembantu rumah yang menawarkan perkhidmatan secara pantas sebelum memperdaya mangsa mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket penipuan kini menggunakan taktik yang lebih licik.
Menurutnya, mereka menawarkan pembantu rumah dengan bayaran deposit yang menarik dan dokumen yang kelihatan sah.
“Lebih membimbangkan, pembantu rumah yang dihantar benar-benar hadir dan bekerja selama beberapa hari bagi meyakinkan mangsa.
“Namun selepas beberapa hari, pembantu rumah terbabit menghilangkan diri, manakala ejen tidak lagi dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, mangsa bukan sahaja kehilangan wang deposit dan bayaran tambahan, malah berdepan kerugian yang besar.
“Sehubungan itu, jangan biarkan penipu mengambil kesempatan atas kepercayaan anda.
“Sentiasa semak, sentiasa waspada dan laporkan segera jika menjadi mangsa,” katanya.
Katanya, pelbagai modus operandi dikesan antaranya menawarkan pembantu rumah dengan proses cepat.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan semak terlebih dahulu lesen agensi, jangan membuat bayaran ke akaun peribadi dan semak nombor telefon dan akaun bank melalui Semak Mule.
“Simpan semua bukti transaksi dan perbualan dan jika menjadi mangsa penipuan, segera hubungi NSRC 997,” katanya. – UTUSAN










