PUTRAJAYA: Malaysia kekal optimis terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini biarpun dihimpit ketidaktentuan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan banyak negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keyakinan itu disandarkan kepada asas ekonomi negara yang masih kukuh.
Beliau berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu turut membantu momentum pertumbuhan bagi suku pertama tahun ini.
“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan menunjukkan aktiviti ekonomi domestik masih berkembang,” katanya pada sidang akhbar Hala Tuju Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan bagaimanapun tetap berhati-hati terhadap risiko baharu yang timbul akibat ketegangan geopolitik global.
Akmal berkata, krisis tenaga dilihat memberi kesan langsung kepada pembekalan tenaga serta meningkatkan kos operasi industri.
Menurutnya, Malaysia juga sedang memantau sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan lain yang berpotensi menjejaskan perdagangan dan pengeluaran.
“Malaysia mempunyai ketahanan lebih baik hasil dasar fiskal dan ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada kerana ia boleh menjejaskan standard yang sudah dibina,” katanya.
Katanya, pelaksanaan biodiesel sebagai pendekatan pragmatik boleh dimanfaatkan sebagai mengukuhkan daya tahan tenaga negara.
“Kerajaan bukan sahaja berpandukan pelan pembangunan jangka panjang, malah meneliti langkah operasi seperti meningkatkan keupayaan daripada B10 kepada B15,” katanya. – UTUSAN










