Diallo ledak gol kemenangan, Ivory Coast tumbangkan Perancis

Diallo ledak gol kemenangan, Ivory Coast tumbangkan Perancis

PENYERANG Ivory Coast, Amad Diallo cuba melepasi benteng Perancis, Maxence Lacroix ketika kedua-dua pasukan itu bertemu dalam satu aksi persabahatan di Stade de la Beaujoire, Nantes, Perancis, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NANTES: Amad Diallo muncul wira Ivory Coast apabila meledak gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk membantu pasukannya menewaskan Perancis 2-1 dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia, semalam.

Kekalahan itu menjadi tamparan buat Perancis yang dilabel antara calon utama untuk menjulang trofi dunia, selain menyaksikan kapten mereka, Kylian Mbappe terus gagal memecahkan rekod jaringan Olivier Giroud.

Mbappe yang membuat penampilan ke-97 bersama Les Bleus mengharapkan dapat menyamai dan memintas rekod 57 gol Giroud, namun gagal menemui sentuhan penyudah sebelum dikeluarkan pada waktu rehat oleh jurulatih Didier Deschamps.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi rembatan deras Rayan Cherki pada minit terakhir babak pertama selepas pemain muda itu mempamerkan aksi individu menarik di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Ivory Coast bangkit pada separuh masa kedua apabila Guela Doue menyamakan kedudukan pada minit ke-53.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Diallo yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul pemusnah harapan Perancis apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-84 untuk menghadiahkan kemenangan kepada skuad The Elephants.

Perancis akan meneruskan persiapan mereka dengan menentang Ireland Utara dalam satu lagi aksi persahabatan di Lille sebelum memulakan kempen Piala Dunia menentang Senegal pada 16 Jun.

Sementara itu, Sepanyol yang banyak mempertaruhkan pemain pelapis dikejutkan Iraq apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi di A Coruna.

Ferran Torres meletakkan juara Eropah itu di hadapan pada minit ke-16, namun gol penyamaan Merchas Doski memastikan Iraq membawa pulang keputusan membanggakan.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, termasuk percubaan Torres yang terkena palang, Sepanyol gagal mencari gol kemenangan.

Dalam satu lagi perlawanan, Iran menamatkan persiapan mereka menjelang Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Mali di Turki.

Iran dijadual berlepas ke Mexico esok selepas menerima visa kemasukan, namun masih menunggu kelulusan visa Amerika Syarikat (AS) walaupun bakal beraksi dalam semua perlawanan kumpulan di negara itu.

Pada masa sama, penyerang Switzerland, Breel Embolo akhirnya menerima kelulusan visa AS selepas permohonannya sebelum ini ditangguhkan, sekali gus membolehkan dia menyertai kem latihan pasukan itu menjelang saingan Piala Dunia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN