Semangat warisan Melayu terus bergema merentasi sempadan negara apabila Festival Silat Terbuka Piala Cekak Harimau Malaysia Antarabangsa Edisi Keenam menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari pelbagai negara di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, baru-baru ini.
Festival yang berlangsung meriah itu bukan sekadar medan pertandingan seni bela diri, malah menjadi platform memperkukuh hubungan budaya, persaudaraan serta diplomasi rakyat melalui warisan persilatan Melayu yang semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Penyertaan pesilat dari enam negara termasuk Uzbekistan, Kyrgyzstan, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat membuktikan silat Melayu kini berkembang jauh melangkaui akar Nusantaranya.
Keadaan itu mengingatkan kembali kepada legasi Panglima Awang, tokoh pelayar Melayu yang dikaitkan dengan pengembaraan mengelilingi dunia dan menjadi simbol keberanian bangsa Melayu merentasi lautan serta tamadun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan tersebut membuktikan silat bukan lagi sekadar seni mempertahankan diri masyarakat Melayu, sebaliknya telah berkembang sebagai khazanah budaya yang mendapat pengiktirafan dunia.
Menurut beliau, sejarah membuktikan tamadun Melayu pernah berkembang luas ke pelbagai pelosok dunia melalui pelayaran, perdagangan dan hubungan peradaban yang kukuh.
Katanya, nilai keberanian, adab, disiplin dan persaudaraan yang menjadi asas persilatan Melayu terus subur serta dihormati sehingga ke hari ini.
“Jika dahulu warisan bangsa dibawa ke serata dunia melalui pelayaran dan hubungan peradaban, hari ini silat Melayu pula menjadi jambatan budaya yang menghubungkan masyarakat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan festival tersebut.
Beliau berkata, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri tetapi lambang jatuh bangun sesuatu bangsa yang sarat dengan nilai perjuangan dan pembentukan jati diri.
Pengerusi Penganjur, Datuk Osman Nok berkata, festival tersebut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang budaya dan negara di bawah satu semangat yang sama.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja memperkenalkan Pahang khususnya Maran dan Jengka sebagai destinasi pelancongan budaya, malah membuka ruang pembangunan belia melalui aktiviti warisan yang sihat serta berdisiplin.
“Festival ini menyatukan masyarakat pelbagai bangsa menerusi penghormatan terhadap seni warisan Melayu dan semangat persaudaraan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Exco Kerajaan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam pula menyifatkan festival tersebut sebagai bukti bahawa silat Melayu masih relevan sebagai aset kebudayaan yang mampu menjadi medium penyatuan masyarakat dunia.
Ujarnya, silat perlu terus diperkasakan sebagai wadah pembentukan insan yang bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah memiliki akhlak dan semangat cintakan bangsa yang tinggi.
“Kejayaan festival itu turut didorong oleh komitmen para guru silat yang tidak pernah jemu mempertahankan kesinambungan warisan persilatan walaupun berdepan pelbagai cabaran zaman,” katanya.
Jurulatih silat dari Riau, Indonesia, Sabri Shamsudin menyifatkan penyertaan pelbagai negara sebagai petanda silat Melayu semakin diterima sebagai medium penyatuan masyarakat global.
Menurutnya, walaupun peserta datang daripada latar budaya dan bahasa yang berbeza, mereka berkongsi semangat yang sama dalam menghormati warisan persilatan dan membina persaudaraan.
Jurulatih Jengka Fighter Felda Jengka 1, Abdul Halim Ali pula berkata, festival tersebut menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta membentuk disiplin dan keyakinan generasi muda.
Katanya, matlamat utama bukan sekadar melahirkan pesilat yang cekap, tetapi generasi yang memiliki akhlak mulia, menghormati orang tua dan memahami nilai perjuangan bangsa.
Bagi dua pesilat muda dari Uzbekistan, Gulbahor dan Mubina yang masing-masing berusia 14 tahun, pengalaman mempelajari silat Melayu membuka ruang kepada mereka mengenali budaya baharu sambil membina keyakinan diri.
“Kami seronok belajar silat kerana ia unik, penuh disiplin dan mengajar rasa hormat terhadap guru serta rakan-rakan,” kata mereka.
Turut mencuri perhatian ialah jurulatih dari Kyrgyzstan, Kydnybek Bikboer, yang menyifatkan silat Melayu mempunyai falsafah mendalam dan keunikan tersendiri berbanding seni bela diri lain.
Menurutnya, elemen adab, penghormatan dan nilai kerohanian yang diterapkan dalam silat menjadi faktor utama menarik minat masyarakat antarabangsa untuk mendalaminya.
Pesilat muda dari Pertubuhan Seni Silat Teratai Halilintir Kelantan, Nur Anesya Muhamad Fadli dan Nor Puteri Yusrina Hisham pula melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyertai festival bertaraf antarabangsa tersebut.
“Kami mahu membuktikan silat masih diminati generasi muda dan mampu membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” kata mereka.
Sementara itu, jurulatih Persatuan Seni Silat Gerak Pusaka Alam Pahang, Ramli Jusoh berkata, minat masyarakat antarabangsa terhadap silat Melayu terus berkembang termasuk di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, seorang jurulatih dari Amerika, A. Malik Ahmad kini aktif melatih lebih 200 pelajar di Washington DC selepas tertarik dengan keunikan falsafah persilatan Melayu.










