PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) melakar sejarah baharu melalui pembentukan Parlimen tergantung buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.
Landskap ini bukan sahaja mengubah dinamika kepimpinan, malah melahirkan blok pembangkang yang sangat besar sehingga mencetuskan fenomena penggabungan negeri State Government 4 (SG4).
Sejarah sentiasa mengajar kita bahawa pengurusan kuasa yang adil akan membina kestabilan, manakala ketidakadilan hanya meruntuhkan kesetiaan. Namun, dalam era demokrasi hari ini, landskap politik tanah air seolah-olah dicemari oleh doktrin sempit ‘kerajaan menjaga kerajaan’ melalui kelalaian pengagihan dana ke negeri pembangkang.
Jika dilihat melalui perspektif emik iaitu pandangan dari dalam kelompok masyarakat di negeri pembangkang sendiri, tindakan meminggirkan peruntukan saksama ini melahirkan impak psikologi yang parah.
Taktik ‘menghukum’ tidak sesekali melemahkan sokongan rakyat terhadap parti pilihan mereka sebaliknya, membina tembok kebencian yang tebal terhadap kerajaan pusat. Apabila pihak pemerintah dilihat berat sebelah, rakyat tidak akan mempunyai dorongan untuk menyokong dasar nasional.
Pendekatan ini turut melahirkan polarisasi mentaliti yang tidak sihat apabila rakyat berasa dilema akibat dinafikan hak pembangunan. Ini bukanlah tanda kejayaan memikat hati, tetapi budaya politik ugutan yang merosakkan demokrasi.
Manakala dari perspektif etik atau analisis luar, fenomena ini adalah satu kelalaian strategik yang besar menjelang PRU16. Walaupun kawasan blok kerajaan dimewahkan, imej ketidakadilan ini dinilai secara kritikal oleh pengundi atas pagar.
Berdasarkan corak sejarah, kerajaan yang alpa biasanya akan cuba menabur bantuan penyejuk hati di saat-saat akhir penggal. Bagaimanapun, strategi bermusim ini tidak lagi berkesan kerana pengundi kini sudah matang untuk menilai antara keikhlasan dengan cita-cita politik.
Strategi terbaik mengekalkan kuasa menjelang PRU16 adalah dengan menunjukkan keadilan mutlak melalui pemberian hak yang sama rata kepada semua negeri.
Saya percaya layanan adil adalah cerminan kerajaan yang berjiwa besar. Jika pihak pemerintah terus alpa dan mengekalkan mentaliti ‘anak emas dan anak tiri’, jangan terkejut jika strategi ini akhirnya memakan diri pada PRU16 nanti. –UTUSAN
MOHAMAD AZRUL MOHD. SHUKRI
Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










