Harga MSM kekal kukuh melebihi RM4,500 satu tan

Harga MSM kekal kukuh melebihi RM4,500 satu tan

KETIDAKTENTUAN bekalan tenaga global dijangka mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi, sekali gus menyokong harga minyak sawit. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi paras RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat, disokong oleh pengembangan penggunaan biodiesel, potensi fenomena El Niño serta ketidaktentuan geopolitik global.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, perkembangan itu berlaku ketika stok minyak sawit Malaysia merosot 16.1 peratus kepada 2.26 juta tan pada Mac, berikutan peningkatan eksport kepada 1.55 juta tan yang melebihi pengeluaran sebanyak 1.37 juta tan. 

“Lonjakan eksport tersebut didorong aktiviti penghantaran awal sebelum kenaikan kos logistik, selain penyusutan eksport Indonesia selepas pelaksanaan levi lebih tinggi.

“Prestasi eksport kekal memberangsangkan apabila jumlah penghantaran bagi suku pertama 2026 meningkat 29.1 peratus atau 927,000 tan berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Pertumbuhan dicatatkan di hampir semua rantau, dengan Afrika Utara mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 94 peratus diikuti Asia Selatan (+74 peratus), Eropah Lain dan Asia Tengah (+47 peratus) Asia Pasifik (+24 peratus) serta Afrika Sub-Sahara (+20 peratus),” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, harga minyak sayuran global menunjukkan pergerakan tidak sekata susulan ketegangan di Asia Barat. 

“Harga minyak sawit dan minyak kacang soya Amerika Syarikat meningkat sekitar 15 peratus hingga 16 peratus setakat pertengahan April, manakala minyak bunga matahari dan rapeseed hanya mencatat kenaikan sederhana.

“Permintaan biodiesel yang meningkat di negara pengeksport utama dijangka terus menyokong harga MSM, berikutan pengurangan bekalan untuk eksport,” katanya. 

Di Amerika Syarikat, pengeluaran biodiesel mencecah paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan pada Mac dan dijangka terus berkembang susulan mandat penggunaan biofuel yang lebih tinggi bagi tempoh 2026 hingga 2027.

Di rantau Asia Tenggara, permintaan domestik yang lebih kukuh dijangka menyerap antara 1.0 hingga 1.5 juta tan minyak sawit pada separuh kedua tahun ini. 

“Malaysia dianggarkan memerlukan tambahan 300,000 tan setahun di bawah mandat B15, manakala Indonesia berpotensi memerlukan sehingga 3 juta tan setahun bagi pelaksanaan mandat B50,” katanya.

Thailand turut menyumbang kepada pengetatan bekalan apabila meningkatkan campuran biodiesel daripada B5 kepada B7 serta memperketatkan kawalan eksport minyak sawit mentah.

Dalam masa sama, ketidaktentuan bekalan tenaga global dijangka mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi, sekali gus menyokong harga minyak sawit. 

“Situasi ini mengimbau trend semasa konflik Ukraine-Rusia pada 2022 yang menyaksikan harga minyak mentah kekal tinggi selama beberapa bulan,” katanya.

Selain itu, risiko El Nino yang dijangka berlaku turut menjadi faktor sokongan harga, berikutan potensi penurunan pengeluaran akibat cuaca kering. 

“Malaysia dilaporkan mengalami pengurangan taburan hujan sejak pertengahan Mac dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Jun.

“Bagaimanapun, kenaikan harga MSM dijangka berdepan kekangan dalam jangka sederhana berikutan permintaan eksport yang berpotensi melemah akibat tekanan inflasi serta pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan di negara pengimport utama. 

“Pada masa sama, peningkatan pengeluaran bermusim dijangka menambah paras stok dan mengehadkan kenaikan harga selanjutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN