PETALING JAYA: Harga minyak global dijangka mengambil masa setahun untuk kembali stabil ke paras sebelum konflik, meskipun ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat semakin reda.
Minyak mentah Brent naik sebanyak 0.23 peratus kepada AS$95.01 (RM375.28) setong sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 0.26 peratus kepada AS$91.02 (RM359.52) setong pada lewat petang semalam.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan harga minyak sekitar AS$90 (RM355.52) setong ketika ini adalah pergerakan yang normal dalam pasaran yang tidak menentu.
“Walaupun Trump sudah mengumumkan yang perang hampir tamat, bagi harga minyak mentah kembali ke paras sebelum perang iaitu sekitar AS$60 (RM237.01) hingga AS$70 (RM276.49) setong adalah tidak mungkin buat masa ini.
“Banyak fasiliti minyak di Asia Barat telah terjejas kesan daripada konflik ini dan mereka memerlukan masa untuk membaik pulih semula kemudahan tersebut.
“Oleh itu, bagi harga minyak mentah kembali kepada paras sebelum perang dijangka dalam masa setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Presiden AS, Donald Trump dalam temu bual bersama Fox News memaklumkan bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran hampir berakhir.
Kenyataan tersebut sedikit sebanyak meredakan kebimbangan pasaran terhadap gangguan bekalan tenaga global serta membuka ruang kepada rundingan damai antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi berkata, sebagai negara pengeksport minyak, kenaikan harga minyak akibat gangguan bekalan boleh memberi kesan campuran dan secara teorinya ia boleh menyokong ringgit, tetapi ketidaktentuan geopolitik yang melampau sering mengatasi faktor ini dan melemahkan mata wang.
“Konflik memuncak cenderung melemahkan ringgit kerana pelabur beralih kepada aset selamat (dolar AS), manakala pelonggaran ketegangan, seperti isyarat perang tamat, membantu mengukuhkan kembali ringgit.
“Ringgit dijangka terus berlegar di sekitar RM4.05 ke RM3.98 berbanding dolar AS minggu ini bergantung kepada perkembangan semasa di Teluk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penyusutan harga minyak ketika ini adalah kesan jangka pendek kerana perang masih dinamik dan boleh berubah pada bila-bila masa.
Katanya, ada pihak yang cuba memanipulasi pasaran bagi tujuan mendapatkan keuntungan dan perlu berhati-hati dengan perkembangan ini yang tidak menggambarkan situasi sebenar.
“Saya berpendapatan perang masih berlarutan dan kita masih lagi berdepan ketidaktentuan. Harga minyak mentah masih lagi dalam AS$90 (RM355.52) setong dan bagi mencapai paras sebelum perang mungkin memerlukan tempoh yang panjang.
“Mungkin akan ambil masa dalam enam bulan mahupun setahun. Ekonomi global kini tidak menentu dan mungkin menuju kepada kegawatan,” ujarnya. – UTUSAN










