EIP sasar RM62.2 juta IPO di Pasaran ACE

EIP sasar RM62.2 juta IPO di Pasaran ACE

ALBERT Chang Wan Siong (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Prospektus EIP di ST. Regis, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: El Power Berhad (EIP) menyasarkan meraih sebanyak RM62.2 juta menerusi terbitan awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. 

Selepas penyenaraian, EIP dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM336 juta berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 700 juta saham dan harga IPO 48 sen sesaham.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif EIP, Albert Chang Wan Siong berkata, pelancaran prospektus itu mencerminkan hasil usaha dan komitmen pasukan sepanjang tahun lalu dalam usaha menjadi syarikat tersenarai awam.

“Dana daripada IPO akan membolehkan kami memperkukuh keupayaan operasi dan menyokong pelan pengembangan.

“Ini termasuk pembinaan ibu pejabat baharu bersama gudang di Selangor, pembukaan cawangan di Johor serta penerokaan pasaran pusat data di Thailand. 

“Pada masa sama, kami turut memperluas penawaran penyelesaian termasuk sistem kecekapan tenaga bangunan,” katanya dalam kenyataan. 

Hasil kutipan itu akan digunakan bagi menyokong pelan pengembangan dan operasi syarikat.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24.9 juta atau 40.1 peratus diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala RM18.3 juta (29.4 peratus) akan digunakan bagi pemerolehan serta penubuhan ibu pejabat baharu bersama gudang.

Selain itu, RM10.0 juta (16.1 peratus) diperuntukkan untuk perbelanjaan modal melibatkan pemasangan sistem kecekapan tenaga bangunan. 

EIP turut memperuntukkan RM2.3 juta (3.7 peratus) bagi penubuhan cawangan bersama gudang di Johor, serta RM1.4 juta (2.2 peratus) untuk membuka pejabat di Thailand.

Baki RM5.3 juta atau 8.5 peratus pula akan digunakan bagi menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 129.5 juta saham biasa baharu, mewakili 18.5 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan serta tawaran jualan 70 juta saham sedia ada, bersamaan 10 peratus daripada modal saham diperbesarkan.

Sejak 2022, kumpulan telah menyiapkan 146 projek dengan nilai keseluruhan RM188.2 juta, melibatkan pusat data serta hartanah industri dan komersial. 

Prestasi itu disokong oleh buku pesanan belum dibilkan berjumlah RM99.9 juta setakat 24 Mac 2026, yang sebahagian besarnya terdiri daripada projek pusat data, mencerminkan permintaan berterusan terhadap penyelesaian tenaga kritikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN