APAD siasat insiden tren LRT tergelincir dari landasan - Utusan Malaysia

APAD siasat insiden tren LRT tergelincir dari landasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil langkah serius dalam siasatan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.

APAD dalam kenyataan berkata, pemeriksaan tapak dibuat sejurus selepas kejadian bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.

“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula telah diadakan pada pukul 3 petang membabitkan wakil Kementerian Pengangkutan bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali.

“Selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, APAD telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren,” katanya.

Pemeriksaan tapak pertama diketuai Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel.

APAD turut menegaskan terhadap keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.

Katanya, siasatan akan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh, sebelum tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pihak pengendali justeru diarahkan mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden itu secepat mungkin untuk penelitian lanjut APAD.

“Laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan oleh APAD bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

“Selain itu, siasatan juga turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN