PETALING JAYA: Pelakon, Diana Danielle mengakui menerima beberapa resume daripada individu berpengalaman selepas menyatakan hasratnya untuk memiliki cef atau tukang masak peribadi di Threads tempoh hari.
Diana berkata, dia bagaimanapun terpaksa menangguhkan perancangan tersebut terlebih dahulu kerana mahu mengubah suai dapur demi keselesaan keluarga dan tukang masak.
“Ramai yang sudah menghantar resume, tetapi saya mahu ubah suai dapur terlebih dahulu sebab saya kurang selesa dengan susun atur sedia ada sebelum menerima orang masuk dan memasak di rumah.
“Perancangan itu sebenarnya sudah ada sejak tahun lalu, cuma belum sempat dilaksanakan. Mungkin dalam beberapa bulan lagi,” katanya ketika ditemui penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir, semalam.
Terkejut dengan maklum balas yang diterima, Diana memaklumkan keputusan itu dibuat kerana kekangan masa bekerja, di samping mahu menjaga corak pemakanan harian anak-anaknya dengan lebih sihat.
“Tahun ini saya memang agak sibuk. Kalau tahun-tahun sebelum ini mungkin saya masih boleh uruskan semuanya sendiri.
“Jadi sekarang saya hanya melihat kepada keperluan keluarga. Bukannya saya mahu mengambil cef profesional yang sudah bekerja di hotel bertahun-tahun walaupun memang ramai yang menghantar resume hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Diana mendedahkan dia menerima resume daripada individu yang memiliki pengalaman luas termasuk pernah bekerja di Dubai, namun belum berkemampuan untuk mendapatkan khidmat cef berkenaan.
Malah, pelakon filem Imaginur itu menekankan bahawa dia mencari seorang tukang masak yang mempunyai pengetahuan asas mengenai nutrisi yang berkhasiat dalam pemakanan.
“Memang ramai yang sangat berpengalaman dan berkaliber. Ada yang pernah bekerja di Dubai dan sekarang mencari peluang di sini disebabkan situasi di sana. Tetapu saya rasa belum mampu untuk mengambil mereka.
“Apa yang saya perlukan sebenarnya adalah seseorang yang mempunyai pengetahuan asas nutrisi dan boleh menyediakan makanan yang sesuai dengan kehendak anak-anak dalam versi lebih sihat.
“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa kerana sekarang saya banyak memikirkan masa depan anak-anak, termasuk perancangan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Sebab itu saya bekerja keras dari sekarang supaya apabila tiba waktunya nanti, semuanya lebih teratur kerana kami sudah merancang lebih awal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Diana membintangi filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak yang dijangka ditayangkan pada November atau pertengahan Disember tahun ini.
Filem terbitan Yusrych Global dengan kerjasama D Ayu Pictures itu turut menampilkan pelakon seperti Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela dan ramai lagi.










