Saya akan terus hadir ibadah korban - mangsa tandukan kerbau - Utusan Malaysia

Saya akan terus hadir ibadah korban – mangsa tandukan kerbau

SHAIFIROL bersama isterinya, Noor Ain Mohd. Jabir, 44, menunjukkan kecederaan yang dialami akibat ditanduk seekor kerbau ketika ibadah korban di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mangsa tandukan kerbau yang tular di media sosial semalam mengaku tidak trauma dan akan terus terlibat dengan ibadah korban pada tahun-tahun akan datang walaupun cedera patah tulang rusuk.

Shaifirol Shahlan, 45 berkata, pada hari kejadian, dia datang ke tempat penyembelihan di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini kira-kira pada pukul 1 petang.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata, saya memang tidak sempat lari. Pada mulanya saya datang hanya untuk tengok sahaja sebab tiap-tiap tahun memang orang agih daging korban.

“Masa kejadian tiba-tiba saya nampak kerbau melulu ke arah saya. Saya cuba lompat tali untuk larikan diri tetapi tidak lepas. Saya ingat saya dilambung kerbau tersebut dua kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Batu 20, Kampung Sungai Tiram, di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Shaifirol mengalami kecederaan patah tiga bahagian tulang belakang selain melecet pada badan dan tangan akibat terkena tali.

Tambahnya, dia tidak pasti mengapa kerbau berkenaan bertindak sedemikian secara tiba-tiba.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, lepas ditanduk dan dilambung, nafas saya jadi pendek, tidak boleh bernafas normal. Sebaik sampai hospital doktor buat imbasan dan beri oksigen baharu nafas kembali seperti biasa.

“Saya juga diberi cuti sakit selama dua minggu. Mujur kecederaan patah tulang itu tidak terlalu teruk dan doktor kata boleh sembuh sendiri. Cuma saya tidak boleh tidur berbaring seperti biasa dan kena duduk di atas kerusi agar mudah nak bangun,” katanya yang bekerja di sebuah ladang.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, mana-mana pihak yang mahu melibatkan diri dalam ibadah korban perlu lebih berhati-hati dan sentiasa utamakan keselamatan agar perkara sama tidak berulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN