KEHADIRAN Parti Bersama yang dipimpin oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengundang pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan keruntuhan besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun begitu, dalam keghairahan membina naratif mengenai “perpecahan undi progresif”, penganalisis sebenarnya terperangkap dalam satu kesilapan asas iaitu terlalu bergantung kepada simulasi matematik statik tanpa memahami realiti psikologi pengundi, dinamika politik semasa dan struktur kuasa sebenar dalam politik Malaysia hari ini.
Tulisan yang mendakwa bahawa Parti Bersama bakal menjadi punca kehancuran PH sebenarnya dibina di atas satu andaian yang sangat besar tetapi lemah dari sudut empirikal, iaitu Parti Bersama mampu menarik sekurang-kurangnya 15 peratus undi PH secara konsisten di kerusi-kerusi marginal.
Persoalannya, dari manakah datangnya keyakinan bahawa 15 peratus pengundi PH akan meninggalkan gabungan tersebut secara besar-besaran?
Hakikatnya, PH hari ini bukan lagi PH tahun 2018. Ketika itu, PH bergerak sebagai pembangkang yang bergantung kepada sentimen perubahan dan simbolisme reformasi. Hari ini, PH ialah kerajaan Persekutuan yang memiliki struktur pentadbiran, rekod dasar, kelebihan incumbency serta imej kestabilan yang jauh lebih besar berbanding mana-mana parti baharu.
Ramai pengundi PH pada hari ini bukan lagi mengundi semata-mata kerana emosi reformasi atau kerana individu tertentu. Sebaliknya, mereka mengundi kerana melihat PH sebagai benteng kestabilan politik dan ekonomi negara.
Dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin tidak menentu, ramai pengundi bandar, kelas menengah dan profesional lebih cenderung memilih kestabilan pentadbiran berbanding eksperimen politik baharu yang belum terbukti kekuatannya.
Atas sebab itu, andaian bahawa Parti Bersama mampu mengambil 15 peratus undi PH secara automatik sebenarnya terlalu simplistik dan tidak mencerminkan realiti politik semasa.
Tambahan pula, analisis yang menggambarkan Parti Bersama sebagai ancaman eksistensial kepada PH gagal memahami satu faktor paling dominan dalam politik Malaysia hari ini, iaitu sentimen anti-PN.
Realiti politik pasca-PRU15 menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi PH tidak terlalu taksub kepada mana-mana parti, tetapi mereka mempunyai satu motivasi utama yang sangat kuat, iaitu mahu menghalang Perikatan Nasional (PN) daripada menguasai Putrajaya.
Dalam konteks ini, walaupun mungkin wujud rasa kecewa terhadap PH atau kerajaan perpaduan, ramai pengundi tetap akan kembali mengundi PH secara taktikal apabila berdepan kemungkinan kemenangan PN.
Fenomena ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam demokrasi moden. Di banyak negara, pengundi sering menghukum kerajaan dalam sentimen harian tetapi akhirnya kembali menyokong kerajaan apabila pilihan yang ada dianggap lebih berisiko atau lebih ekstrem.
Sebab itulah simulasi yang mengandaikan undi PH akan berpindah secara linear kepada Parti Bersama tanpa mengambil kira faktor “strategic voting” sebenarnya sangat lemah dari sudut tingkah laku pengundi.
Selain itu, tulisan tersebut juga terlalu mengagungkan kekuatan personaliti Rafizi seolah-olah beliau masih memiliki pengaruh akar umbi yang sama seperti sedekad lalu.
Tidak dapat dinafikan bahawa Rafizi ialah seorang ahli politik yang petah dan mempunyai kekuatan dalam politik data serta media sosial. Namun begitu, landskap politik telah berubah dengan ketara.
Rafizi hari ini bukan lagi tokoh outsider yang dilihat menentang sistem dari luar. Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden PKR, pernah memegang jawatan Menteri dan pernah menjadi sebahagian daripada elit pentadbiran negara.
Keadaan ini menyebabkan Parti Bersama berdepan kesukaran untuk menjual naratif “politik baharu” secara meyakinkan kerana ramai rakyat melihat ia lebih sebagai pecahan dalaman PH berbanding gerakan reformasi baharu yang benar-benar segar.
Dalam masa yang sama, ramai juga terlupa bahawa pilihan raya di Malaysia tidak dimenangi melalui populariti media sosial semata-mata. Ia sebaliknya dimenangi melalui kekuatan jentera, jaringan akar umbi, operasi lapangan, penyelarasan pusat daerah mengundi, polling agents, dana dan kemampuan mobilisasi pengundi pada hari pengundian.
Di sinilah PH mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar berbanding Parti Bersama. Sebagai kerajaan Persekutuan, PH memiliki akses kepada struktur politik dan pentadbiran yang jauh lebih tersusun. Parti Bersama pula masih perlu membina semuanya dari kosong, termasuk organisasi negeri, kepimpinan cabang, jentera pilihan raya dan sumber kewangan.
Dalam sejarah politik Malaysia sendiri, bukan mudah untuk sebuah parti baharu terus menjadi kuasa dominan hanya dengan bergantung kepada momentum media.
Lebih menarik, simulasi yang dibawa juga mengandungi kelemahan metodologi yang sangat ketara kerana ia mengandaikan bahawa undi PN dan BN akan kekal statik manakala hanya undi PH sahaja yang berubah. Ini jelas tidak realistik.
Hakikatnya, PN sendiri sedang berdepan pergolakan dalaman yang semakin serius, khususnya membabitkan pertembungan antara kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu, kumpulan Team Reset yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin serta hubungan yang semakin kompleks dengan PAS di beberapa negeri. Konflik dalaman ini menunjukkan bahawa PN bukanlah blok yang stabil seperti yang cuba digambarkan oleh penganalisis.
Malah, sebahagian besar undi PN dalam PRU15 sebenarnya adalah undi protes dan undi anti-UMNO/BN, bukannya undi ideologi yang benar-benar kekal. Apabila dinamika politik berubah dan konflik dalaman PN semakin terbuka, tidak ada jaminan bahawa kelompok pengundi ini akan terus kekal bersama PN pada PRU16.
Ramai pengundi Melayu yang menyokong PN pada PRU15 melakukannya kerana kecewa dengan UMNO dan mahu menghukum BN, bukannya kerana komitmen mutlak terhadap Bersatu atau PAS. Oleh sebab itu, apabila PN sendiri mula memperlihatkan budaya perebutan kuasa, perpecahan dalaman dan krisis kepimpinan, sebahagian pengundi atas pagar dan pengundi protes ini juga berpotensi untuk menjauhkan diri daripada PN.
Dalam pilihan raya sebenar PN juga boleh kehilangan undi, BN juga boleh runtuh di kawasan tertentu, turnout pengundi boleh berubah, pengundi muda boleh swing dan pengundi atas pagar boleh kembali kepada kerajaan demi kestabilan.
Malah, kemunculan Parti Bersama juga tidak semestinya hanya menarik undi PH. Ia juga berpotensi mengganggu undi BN bandar, pengundi profesional Melayu atas pagar atau kelompok progresif yang sebelum ini tidak keluar mengundi.
Justeru, gambaran bahawa Parti Bersama akan “menghancurkan PH” sebenarnya terlalu sempit dan bersifat sensationalist.
Lebih penting, naratif bahawa PH sedang menuju keruntuhan sebenarnya telah berkali-kali dimainkan sejak 2022, tetapi gagal menjadi kenyataan.
Sebelum ini, ramai meramalkan PH akan musnah kerana bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Ada juga yang mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama. Namun realitinya, kerajaan masih stabil sehingga hari ini.
Malah, kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa semakin kukuh di bawah kepimpinan Anwar, khususnya dalam konteks hubungan ASEAN, diplomasi Global South, pelaburan asing dan pemulihan imej Malaysia di mata dunia. Semua ini memberikan kelebihan besar kepada PH sebagai parti pemerintah.
Hakikat sebenar politik Malaysia hari ini ialah rakyat semakin letih dengan ketidakstabilan politik berpanjangan. Selepas episod Sheraton Move, pertukaran kerajaan, konflik dalaman parti dan ketidaktentuan ekonomi, ramai pengundi kini lebih menghargai kestabilan berbanding eksperimen politik baharu yang belum teruji.
Atas sebab itu, kemunculan Parti Bersama diyakini tidak akan membawa kepada keruntuhan PH seperti yang cuba digambarkan.
Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM)










