Bilangan kediaman di Malaysia naik kepada 10.9 juta pada 2025 - Utusan Malaysia

Bilangan kediaman di Malaysia naik kepada 10.9 juta pada 2025

SELANGOR merekodkan jumlah tempat kediaman tertinggi pada 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan Tempat Kediaman (TK) pada 2025 dianggarkan 10.9 juta berbanding 9.6 juta pada 2020 dengan Selangor merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi, 2.5 juta pada 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sepanjang tempoh 1970 hingga 2025, kadar purata pertumbuhan tahunan TK tertinggi direkodkan pada 1980 (4.5 peratus), manakala pertumbuhan penduduk tertinggi direkodkan pada 1991 (2.6 peratus).

Katanya, senario ini sejajar dengan transisi demografi Malaysia yang menunjukkan kadar kelahiran yang semakin perlahan, sekali gus menunjukkan Malaysia kini memasuki fasa keempat transisi demografi

“Kadar pertumbuhan tahunan TK tertinggi pada tahun 2025 direkodkan di Putrajaya dengan 4.1 peratus, diikuti oleh Johor (3.0 peratus) dan Melaka (2.9 peratus).

“Trend yang sama turut dicatatkan pada 2020 iaitu Putrajaya merekodkan 4.4 peratus, manakala Johor dan Melaka masing-masing mencatatkan 3.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bilangan TK pada 2020 adalah sebanyak 9.62 juta, meningkat 2.27 juta berbanding 7.35 juta pada 2010 dengan 81.0 peratus merupakan TK didiami (2020).

Jelasnya, Selangor mencatatkan bilangan TK tertinggi (2.1 juta), diikuti Johor (1.2 juta) dan Perak (808,323) pada tahun 2020.

Tambahnya, di peringkat daerah pentadbiran, Petaling, Selangor merekodkan bilangan TK tertinggi dengan 679,812, diikuti oleh Johor Bahru, Johor (610,314) dan Ulu Langat, Selangor (431,574)

“Tempat kediaman telah dikelaskan kepada bertanah, bertingkat dan lain-lain berdasarkan kombinasi jenis TK yang dikenal pasti dalam Banci Malaysia 2020.

“Kategori bertanah merekodkan peratusan tertinggi dengan 73.1 peratus, diikuti bertingkat (22.8 peratus) dan lain-lain (4.1 peratus). Di peringkat negeri, TK bertanah mendominasi kategori TK di Perlis dengan 95.6 peratus, diikuti bertingkat (Putrajaya: 78.0 peratus).

“Selain itu, kategori lain-lain mendominasi di Sarawak (18.5 peratus) yang sebahagian besarnya terdiri daripada rumah panjang dan rumah kampung air,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, status pemilikan TK merangkumi persendirian, persendirian (TK disewa), kerajaan, swasta, koperasi/ syarikat kerjasama dan lain-lain.

Menurutnya, pemilikan persendirian mencatatkan peratusan tertinggi dengan 71.4 peratus, diikuti persendirian TK disewa (18.9 peratus), milik swasta (3.4 peratus), milikan kerajaan (2.8 peratus) dan koperasi/ syarikat kerjasama (0.4 peratus).

Mengulas lanjut mengenai pemilikan TK, beliau berkata, ketua isi rumah lelaki mengatasi perempuan dengan masing-masing merekodkan 84.2 peratus dan 15.8 peratus pada 2020.

“Pemilikan TK bagi kumpulan umur 20 hingga 64 tahun merekodkan 84.7 peratus, manakala umur 65 tahun dan lebih mencatatkan 15.3 peratus.

“Isi rumah bumiputera mencatatkan peratusan pemilikan TK tertinggi dengan 63.3 peratus, diikuti etnik Cina (29.5 peratus) dan etnik India (6.7 peratus).

“Kaedah perolehan TK melalui pinjaman institusi kewangan mencatatkan peratusan tertinggi dengan 45.8 peratus, diikuti pembiayaan/ pembinaan sendiri (32.8 peratus) dan hadiah/ pusaka (14.4 peratus),” jelasnya.

Tambahnya, dapatan Banci menunjukkan 1.5 juta isi rumah menyewa TK yang didiami pada tahun 2020 dan sebanyak 92.8 peratus isi rumah membayar kadar sewa rumah bulanan kurang daripada RM1,499, diikuti 6.2 peratus membayar sewa RM1,500 hingga RM2,999 dan 1.0 peratus membayar sewa melebihi RM3,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN