Bilangan jutawan Malaysia dijangka melonjak 39 peratus - Utusan Malaysia

Bilangan jutawan Malaysia dijangka melonjak 39 peratus

BILANGAN jutawan Malaysia dijangka meningkat 39 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan jutawan di Malaysia dijangka berkembang sebanyak 39 peratus menjelang 2031, disumbangkan oleh pengembangan ekonomi negara yang kukuh walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global serta turun naik harga tenaga.

Unjuran peningkatan ini meletakkan Malaysia di kedudukan ke-15 di peringkat global dalam kalangan negara yang mempunyai lebih daripada lima jutawan tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, individu bernilai bersih ultra tinggi (UHNWI) domestik di Malaysia pula diramalkan mencatatkan pertumbuhan 20.1 peratus untuk tempoh lima tahun iaitu daripada 1,566 individu pada 2026 kepada 1,881 individu menjelang 2031.

“Angka ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding kadar pertumbuhan 6.5 peratus yang dicatatkan sepanjang tempoh 2021 hingga 2026.

“Prestasi ini turut disokong oleh kedudukan berterusan ringgit dan pasaran modal yang aktif dengan penyenaraian yang terus berkembang dari tahun ke tahun sejak 2020.

“Pada peringkat global, penciptaan kekayaan terus mencatatkan pecutan dramatik walaupun dihalang oleh ketidaktentuan geopolitik, kenaikan kadar faedah dan prestasi ekonomi yang tidak seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Bilangan UHNWI di seluruh dunia yang memiliki aset bernilai lebih daripada AS$30 juta (RM118.70 juta) telah meningkat sebanyak 162,191 individu antara tahun 2021 dan 2026 serta bersamaan dengan purata 89 UHNWI baharu yang dilahirkan setiap hari.

Mengulas lanjut, Keith berkata, pasaran hartanah kediaman perdana di ibu negara turut mempamerkan kestabilan.

“Kediaman mewah di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan nilai sebanyak 1.1 peratus pada 2025 berdasarkan Indeks Kediaman Antarabangsa Perdana (PIRI 100) Knight Frank yang menjejaki pergerakan harga mewah di 100 pasaran kediaman teratas dunia.

“Kestabilan nilai ini adalah sejajar dengan prestasi pasaran segmen kediaman kebelakangan ini di mana jumlah transaksi telah berkembang 5.4 peratus daripada 399,008 transaksi pada 2023 kepada 420,545 pada 2024,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pemasaran Projek Antarabangsa Knight Frank Property Hub, Adrian Yeoh berkata, pihaknya menjangkakan prospek yang pelbagai pada tahun ini.

Katanya, pembaharuan perumahan sokongan seperti cadangan Akta Pemajuan Hartanah dan platform Transformasi dan Pemerkasaan Data Penggunaan dalam Perumahan (Teduh) akan membantu melonjakkan sentimen pasaran.

Trend semasa juga menyaksikan lebih ramai pelabur kini beralih ke lokasi safe havens di luar negara sebagai pelindung nilai terhadap ketidaktentuan politik yang berterusan.

”Hal ini dapat mendorong lonjakan pelaburan langsung asing Malaysia sebanyak 65 peratus kepada RM2.8 bilion pada suku keempat 2025.

“Kemunculan lokasi selamat di bandar-bandar utama di pasaran seperti United Kingdom dan Australia berlaku pada saat individu ultra kaya semakin mengatur kehidupan mereka merentasi pelbagai bidang kuasa dengan pejabat keluarga secara aktif menguruskan risiko cukai, gaya hidup dan politik.

“Pasaran Australia terus menarik minat pelabur domestik yang kuat dengan rakyat Malaysia kini menjadi sumber pelaburan kesembilan terbesar bagi tanah kediaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN