KUALA LUMPUR: Syarikat kecerdasan buatan (AI) Emiriah Arab Bersatu (UAE), The Applied AI Company (AAICO), memperluas operasinya ke rantau Asia Pasifik dengan pembukaan pejabat pertama di Malaysia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AAICO, Arya H. Bolurfrushan berkata, kehadiran syarikatnya sejajar dengan program transformasi digital serantau termasuk rangka kerja Ekonomi Madani di Malaysia.
Menurutnya, langkah strategik yang seiring dengan pelancaran platform terbaharu Opus 2.0 yang didorong oleh realiti perniagaan teknologi AI kini kurang dari segi keuntungan bersih syarikat.
“Opus 2.0 adalah sebuah sistem pengorkestraan berketentuan bagi ejen AI perintis khusus untuk kegunaan industri terkawal.
“Sistem pintar ini mencerakinkan setiap proses syarikat ke dalam bentuk Directed Acyclic Graph (DAG) di mana setiap nod mengikat ejen AI kepada kontrak input dan output yang ketat.
“Model tadbir urus Pembuat-Penyemak-Penimbangtara yang disertakan secara terbina dalam sistem menguatkuasakan aspek pengasingan tugas pada setiap sempadan ejen,” katanya pada Majlis Pelancaran Pasaran AAICO di Malaysia di sini semalam.
Selepas pembukaan pejabat pertama di Malaysia, AAICO akan mengukuhkan kehadirannya di Asia Pasifik dengan pembukaan pejabat di Singapura dan Hong Kong.
Arya berkata, saluran penambahbaikan terkawal membolehkan prestasi sistem ditingkatkan tanpa menjejaskan integriti proses tersebut.
“AAICO turut memacu inovasi disruptif terhadap model ekonomi perisian tradisional dalam pada masa yang sama.
“Sistem caj yang diperkenalkan oleh AAICO berbeza berbanding penyedia perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) konvensional yang bergantung kepada lesen langganan pengguna mahupun token,” ujarnya.
Beliau berkata, AAICO mengiktiraf pelaksanaan kecerdasan buatan sebagai tenaga kerja digital yang boleh diskala, dengan menetapkan bayaran berdasarkan jam bekerja AI (AI man-hour) dan hasil kerja yang disiapkan.
“Langkah ini menempatkan AAICO dalam persekitaran kawal selia Asia Pasifik yang ketat, memfokuskan sektor perbankan, kewangan, insurans, kesihatan dan awam.
“Penggunaan AI mungkin meluas, namun banyak syarikat dalam industri terkawal masih bergelut untuk merealisasikan projek perintis mereka ke fasa operasi yang sebenar.
“Hal ini berpunca daripada kelemahan ejen AI umum yang gagal memenuhi syarat ketat pihak pengawal selia membabitkan kebolehauditan, kebolehulangan, serta pengasingan tugas,” kataya. – UTUSAN










