Saham Asia mengukuh susulan harga minyak mentah mereda - Utusan Malaysia

Saham Asia mengukuh susulan harga minyak mentah mereda

SEORANG pelabur melihat prestasi pasaran saham Asia. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Asia meningkat hari ini apabila harga minyak mereda selepas kenaikan dengan pasaran kini menumpukan perhatian kepada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Ia bagi melihat bagaimana pembuat dasar akan menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan risiko inflasi di tengah-tengah konflik di Asia Barat.

Pada pukul 3 petang, Bursa Malaysia melonjak 17.68 mata kepada 1,728.67 berbanding 1,710.99 pada penutup dagangan semalam.

Ketua penyelidikan komoditi global di JPMorgan, Natasha Kaneva berkata, kestabilan sementara Brent dan WTI mencerminkan penampan daripada lebihan inventori serantau, komposisi penanda aras dan campur tangan dasar.

“Jika Selat itu tidak dibuka semula, Brent dan WTI akhirnya akan dinaikkan semula kerana inventori di Lembangan Atlantik berkurangan dan pasaran global terpaksa menyesuaikan harga pada tahap bekalan yang lebih ketat,” katanya.

Harga minyak berehat sebentar pada Rabu selepas kerajaan Iraq dan pihak berkuasa Kurdis mencapai persetujuan untuk menyambung semula eksport minyak melalui pelabuhan Ceyhan di Turki, walaupun Selat Hormuz masih ditutup sebahagian besarnya.

Niaga hadapan Brent merosot 2.2 peratus kepada AS$101.09 (RM395.38) setong manakala minyak mentah WTI turun 3.3 peratus kepada AS$93.05 (RM363.94) setong.

Keadaan itu memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur ekuiti, dengan indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun naik 1.6 perastus apabila pasaran Korea Selatan melonjak lebih 4.0 peratus. Saham Nikkei di Jepun turut meningkat 2.6 peratus.

Bagaimanapun, saham utama China menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus.

Sementara itu, niaga hadapan S&P 500 meningkat 0.4 peratus dan Nasdaq naik 0.5 peratus, disokong oleh jangkaan keuntungan kukuh daripada pengeluar cip Micron Technology yang dijangka diumumkan pada Rabu.

Pelabur akan menunggu sebarang komen mengenai kekurangan cip dan harga.

Laporan bahawa Nvidia memperoleh kelulusan dari China untuk menjual cip kecerdasan buatan kedua paling berkuasa turut meningkatkan sentimen pasaran.

Di Eropah, niaga hadapan EUROSTOXX 50 meningkat 0.6 peratus.

Pengerusi Fed, Jerome Powell juga akan mengadakan sidang media, dan pasaran akan memerhatikan sebarang petunjuk sama ada beliau bercadang untuk terus menjadi gabenor apabila tempoh jawatannya sebagai pengerusi berakhir pada Mei.

Penganalisis IG, Tony Sycamore berkata, kesepakatan masih menunjukkan dot plot median meramalkan satu pemotongan 25 mata asas pada 2026, selaras dengan harga pasaran semasa.

“Bagaimanapun, ada kemungkinan dot tersebut boleh menjadi lebih hawkish, mungkin tiada pemotongan langsung, jika jawatankuasa melihat kejutan minyak menyebabkan inflasi lebih melekit,” ujarnya.

Bank of Canada juga mengadakan mesyuarat pada Rabu, di mana peserta pasaran menjangkakan tiada perubahan dasar dan meramalkan langkah seterusnya adalah kenaikan dengan satu kenaikan kadar sepenuhnya dijangka menjelang akhir tahun.

Hasil bon Perbendaharaan AS meningkat, disokong oleh lelongan bon Perbendaharaan 20 tahun yang kukuh.

Hasil bon 10 tahun turun dua mata asas kepada 4.17 peratus, sesi penurunan ketiga berturut-turut, menjauh dari paras tertinggi baru-baru ini iaitu 4.29 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN