Ora Good Cat GT Facelift 2025: EV comel dengan sisi sporty

Ora Good Cat GT Facelift 2025: EV comel dengan sisi sporty

ORA Good Cat GT dengan harga RM119,800.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORA Good Cat GT ialah model kenderaan elektrik (EV) keluaran Great Wall Motor (GWM) di bawah sub-jenama Ora dan ia mungkin nampak seperti gabungan beberapa model ikonik seperti Volkswagen Beetle, Porsche 911 klasik dan juga MINI. Varian GT ini merupakan versi paling tinggi dalam keluarga Good Cat, dengan imej comel tetapi ada karakter lebih agresif.

Dalam pasaran global, model ini dikenali sebagai Funky Cat, Ora 03 di Eropah dan Haomao di China yang bermaksud ‘Good Cat’. Versi facelift 2025 untuk Malaysia turut menerima talaan suspensi lebih keras berbanding model awal supaya lebih sesuai dengan keadaan jalan tempatan.

Rekaan luaran dan identiti GT
Bahagian hadapan menjadi tarikan utama dengan lampu bulat yang mengingatkan kepada model klasik Eropah. Varian GT menampilkan trim gentian karbon serta elemen warna kuning yang menjadi identiti khasnya. Di Malaysia, GT hanya ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan kelabu.

Di sisi, elemen gentian karbon bersambung ke arc body cladding yang membuatkan model GT nampak lebih lebar dan agresif. Rim 18 inci varian GT pula tampil lebih eksklusif dan sporty dengan kemasan tiga tona warna, lengkap dengan tayar GITI. 

Aksen kuning turut digunakan pada brake caliper dan side mirror. Ora Good Cat masih mengekalkan door handle mekanikal berbanding rekaan flush door handle elektronik kerana lebih ringkas serta selamat, malah rekaan flush door handle dilaporkan bakal diharamkan di China bermula 2027 atas faktor keselamatan.

Port pengecasan terletak di bahagian hadapan. Model ini menggunakan bateri 57.7 kilowatt jam (kWh) dengan jarak sehingga 460 kilometer (km) NEDC, manakala pengecasan pantas arus terus (DC) sehingga 60 kW membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam tempoh 38 minit. 

Untuk pengecasan arus ulang alik (AC) pula, ia menyokong sehingga 6.6 kW dengan masa sekitar sembilan jam dari kosong ke penuh. 

Ini merupakan kadar pengecasan AC paling asas yang biasanya sesuai digunakan di rumah, lebih perlahan berbanding DC fast charging tetapi praktikal untuk cas semalaman.

BAHAGIAN belakang model GT tampil dengan spoiler khas.

Rekaan belakang dan ruang kargo
Bahagian belakang model GT tampil dengan spoiler khas, diffuser gentian karbon dan elemen kuning. 

Lampu brek diletakkan pada cermin belakang, satu rekaan yang jarang dilihat pada kereta lain. Ruang kargo menawarkan kapasiti 228 liter dan boleh diperluaskan sehingga 858 liter apabila kerusi belakang dilipat.

Prestasi dan powertrain
Walaupun kelihatan seperti perubahan kosmetik, varian GT sebenarnya lebih berkuasa berbanding model standard. Motor elektrik menghasilkan 171 hp dan 250 Nm tork dengan kelajuan maksimum sekitar 150 km/j, manakala model standard pula menawarkan 143 hp dan 210 Nm. 

Menariknya, hanya varian GT didatangkan dengan fungsi Launch Control, satu ciri yang kebiasaannya ditemui pada kereta sport premium bagi memberikan pecutan lebih agresif dari keadaan pegun. Tiada ruang frunk di hadapan kerana ruang tersebut dipenuhi komponen sistem elektrik.

Interior dan teknologi
Kabin model GT hanya ditawarkan dengan tema hitam bersama jaluran kuning yang memberikan imej lebih sporty. Ia turut didatangkan dengan tempat duduk jenis bucket berkemasan kulit dan alcantara, menjadikan suasana kabin terasa lebih premium seakan kereta mewah berbanding model standard yang menggunakan tona dalaman cerah.

Dua skrin bersaiz 10.25 inci menjadi pusat kawalan utama dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, namun sambungan Android Auto masih menggunakan wayar. 

Sistem infotainmen versi facelift juga lebih lancar berbanding sebelum ini. Gear selector di sebelah kanan memberi ruang kepada wireless charger 50W di bahagian tengah. 

Bahagian belakang kabin tampil minimalis tanpa aircond vent, namun pendingin hawa kereta EV kebiasaannya didapati lebih cepat menyejukkan kabin berbanding kereta petrol dan diesel.

RUANG kargo menawarkan kapasiti 228 liter.

Pengalaman pemanduan
Sepanjang tempoh pinjaman selama lima hari daripada GWM Malaysia, penulis berpeluang mencuba Ora Good Cat GT di pelbagai situasi pemanduan termasuk kawasan bandar, lebuh raya serta laluan berbukit dan berselekoh. 

Hasilnya, perubahan talaan suspensi pada versi facelift ini jelas terasa lebih stabil berbanding model awal, memberikan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan kawalan.

Walaupun menggunakan konfigurasi FWD ketika banyak EV lain beralih kepada RWD, Good Cat GT masih terasa lincah dengan turning radius sekitar 5.0 meter. Sistem kamera 540 darjah pula sangat membantu ketika pemanduan perlahan di bawah 15 km/j, memudahkan pergerakan di kawasan sempit.

Pilihan mod pemanduan termasuk Eco, Eco+, Normal, Sport dan Custom. Eco+ sesuai untuk perjalanan lebuh raya bagi memaksimumkan jarak pemanduan, manakala Sport lebih menyeronokkan di laluan berbukit dan berselekoh. 

Untuk penggunaan harian di bandar, mod Normal memberikan respon pedal yang lebih seimbang dan lancar.

Harga dan kedudukan pasaran
Dengan harga RM119,800, Ora Good Cat GT berada dalam segmen sama dengan beberapa EV popular lain seperti MG4 EV serta model dalam lingkungan harga sekitar RM100 ribu. 

Varian standard pula ditawarkan pada harga RM109,800, menjadikannya pilihan lebih mampu milik dalam barisan Good Cat.

Untuk promosi semasa, GWM Malaysia turut menawarkan ganjaran early bird RM3,000, pakej lima tahun servis penyelenggaraan percuma termasuk buruh dan alat ganti, serta perlindungan waranti yang merangkumi lapan tahun atau 180,000 km untuk bateri kuasa, lapan tahun atau 180,000 km untuk motor elektrik dan modul kawalan serta waranti kenderaan lima tahun atau 150,000 km (tertakluk kepada terma dan syarat).

Bagi yang mahukan EV bergaya retro moden, mudah digunakan tanpa terlalu banyak fungsi pelik, Good Cat GT boleh menjadi pilihan menarik kerana rupa comel dipadankan dengan karakter pemanduan yang lebih sporty daripada jangkaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN