Menara Merdeka 118 raih Pensijilan WELL Core Tahap Platinum - Utusan Malaysia

Menara Merdeka 118 raih Pensijilan WELL Core Tahap Platinum

MENARA Merdeka 118 meraih Pensijilan WELL Core Tahap Platinum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menara Merdeka 118 meraih Pensijilan WELL Core Tahap Platinum, iaitu tahap tertinggi di bawah WELL Building Standard global yang ditadbir oleh International WELL Building Institute (IWBI). 

Dengan pencapaian itu, Menara Merdeka 118 secara rasmi diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia yang berjaya memperoleh Pensijilan WELL Core.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV), Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim berkata, Pensijilan WELL mencerminkan komitmen Menara Merdeka 118 dalam menyediakan pengalaman ruang kerja premium yang berteraskan kesihatan dan keselesaan. 

“Pengiktirafan ini sebenarnya untuk mereka yang bekerja di Menara Merdeka 118. Kami mahu para penyewa dan pasukan mereka merasai perbezaannya sebaik melangkah masuk menara ini daripada kualiti udara yang dihirup hingga keselesaan ruang kerja digunakan setiap hari.

“Pensijilan WELL Core pada tahap tertinggi ini memberikan asas yang kukuh kepada para penyewa untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan mengutamakan kebajikan pekerja, sambil menyokong aspirasi kelestarian mereka.

“Bagi kami, pencapaian ini turut memperkukuh daya tarikan Menara Merdeka 118 kepada organisasi terkemuka yang mengutamakan prestasi, pengalaman bakat dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Susulan pengiktirafan Merdeka 118 sebagai lokasi MD Nexus pertama di Malaysia, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi aspirasi mereka untuk terus memposisikan presint ini sebagai destinasi pilihan syarikat global dan serantau. 

“Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat kedudukan Merdeka 118, malah turut meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam pembangunan tempat kerja yang sihat dan mampan. 

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan dengan tujuan jelas, sambil kekal bertanggungjawab terhadap komuniti, ketika kami terus membentuk Merdeka 118 sebagai presint yang diiktiraf di peringkat globa yang menarik penyewa, bakat dan kerjasama bertaraf dunia,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IWBI, Rachel Hodgdon berkata, sebagai bangunan tertinggi di dunia yang diperakui WELL, Merdeka 118 mentakrif semula jangkaan global terhadap pembangunan ikonik.

“Ia sekali gus menunjukkan kepimpinan yang jelas dalam pembangunan bangunan sihat.

“Pencapaian ini memberi isyarat yang jelas kepada industri hartanah global bahawa masa depan bangunan mercu bukan sekadar mengenai ketinggian atau cita-cita besar, tetapi mengenai keutamaan terhadap kesihatan dan kesejahteraan penghuninya,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan IWBI dan Ketua Asia Pasifik, Jack Noonan berkata,  Merdeka 118 mempunyai pengaruh yang jauh melangkaui Malaysia dan rantau Asia Pasifik Sebagai salah satu mercu tanda paling menonjol di dunia.

“Pencapaian Pensijilan WELL Core Tahap Platinum pada skala ini membuktikan bahawa reka bentuk yang berteraskan kesihatan bukan sahaja boleh dilaksanakan bagi bangunan mega tinggi, malah menjadi satu keperluan untuk masa depan yang mengutamakan kesihatan. 

“Ia turut memperkukuh peranan Asia Pasifik yang semakin menyerlah dalam membentuk pembangunan bertaraf dunia dan bersedia untuk masa hadapan, dengan kesihatan sebagai teras kemajuan,” katanya.

Proses pensijilan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama JLL Sustainability Consulting, yang dilantik sebagai Perunding WELL, serta Airscan Malaysia bertindak sebagai Ejen Pengujian Prestasi WELL. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN