PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mempergiat usaha untuk membantu syarikat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Malaysia (OGSE) mempelbagaikan destinasi eksport mereka, sekali gus memperkukuh daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global dan perubahan landskap rantaian bekalan antarabangsa.
Seiring dengan perubahan geopolitik, penyusunan semula rantaian bekalan serta peralihan tenaga global yang membentuk semula industri ini, Matrade secara aktif menyokong pengeksport Malaysia untuk meneroka pasaran baharu dan sedang berkembang di seluruh Asia, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.
Dengan menggalakkan syarikat memperluas pasaran melebihi pasaran tradisional, Matrade berhasrat membantu firma OGSE Malaysia mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran tertentu sambil mengekalkan pertumbuhan eksport jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, kepelbagaian pasaran semakin penting bagi pengeksport Malaysia yang berdepan persekitaran perdagangan global yang semakin kompleks.
“Rantaian bekalan global sedang mengalami perubahan besar dan syarikat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan pasaran eksport sambil memperkukuh keupayaan teknologi mereka.
“Matrade memainkan peranan penting dalam membantu syarikat OGSE Malaysia menembusi pasaran baharu dan meletakkan diri secara kompetitif di pentas global,” katanya dalam kenyataan.
Sektor minyak dan gas kekal sebagai tonggak penting ekonomi Malaysia, menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Pada 2025, produk petroleum menyumbang RM103.55 bilion atau 6.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala gas asli cecair (LNG) dan minyak mentah menyumbang tambahan RM71.05 bilion.
Melalui program seperti Mid-Tier Companies Development Programme (MTCDP) serta penyertaan dalam pameran industri global utama, Matrade menyediakan pendedahan strategik, peluang padanan perniagaan dan akses kepada pembeli antarabangsa kepada syarikat Malaysia.
MIR VALVE Sdn. Bhd. menjadi contoh bagaimana syarikat OGSE Malaysia berjaya berkembang ke pasaran global sambil menonjolkan keupayaan kejuruteraan negara.
Bermula sebagai syarikat pemula tempatan yang menghasilkan injap, syarikat ini kini berkembang menjadi pengeluar injap kejuruteraan yang diiktiraf di peringkat global, melayani pelanggan di lebih 40 negara serta telah menghantar lebih 36,000 produk injap ke seluruh dunia dengan sokongan Matrade.
Melalui penyertaan dalam MTCDP Matrade dan platform perdagangan antarabangsa seperti Abu Dhabi International Petroleum Exhibition and Conference, MIR VALVE berjaya mengukuhkan kehadirannya di pasaran utama termasuk India, sekali gus mempelbagaikan destinasi eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada permintaan domestik.
Jelas Abu Bakar, satu pencapaian terbaharu membuktikan kemajuan tersebut apabila MIR VALVE memperoleh kontrak bernilai lebih RM10 juta bagi projek Subsea Pipeline End Manifold (PLEM) di India.
“Syarikat itu membekalkan injap bola subsea penutup automatik bersaiz 48 inci Kelas 300, antara injap bola subsea berpenggerak terbesar di pasaran global.
“Projek ini disiapkan sepenuhnya menggunakan 100 peratus kepakaran bakat tempatan Malaysia, sekali gus menunjukkan kemampuan sektor kejuruteraan negara dalam menyediakan penyelesaian kompleks untuk projek tenaga antarabangsa,” katanya.
Abu Bakar berkata, pengembangan eksport oleh syarikat seperti MIR VALVE turut membawa manfaat ekonomi yang lebih luas kepada ekosistem industri tempatan.
“Pengembangan antarabangsa oleh syarikat OGSE Malaysia mewujudkan kesan pengganda kepada rantaian bekalan tempatan. Dalam kes MIR VALVE, projek globalnya menyokong sekitar 65 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang menyumbang kepada ekosistem pembuatan dan kejuruteraannya,” katanya. – UTUSAN










