Malaysia perlu sedia hadapi kos import lebih mahal susulan konflik Asia Barat- Tengku Zafrul 

Malaysia perlu sedia hadapi kos import lebih mahal susulan konflik Asia Barat- Tengku Zafrul 

TENGKU ZAFRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu bersedia berdepan impak seperti kenaikan kos import susulan konflik yang tercetus di Asia Barat, menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara perdagangan dengan eksport dan import bernilai tinggi yang dihantar melalui ruang udara rantau berkenaan.

Menurutnya, beberapa penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik susulan penutupan atau sekatan ruang udara di Asia Barat akibat ketegangan yang semakin memuncak.

“Apabila laluan tidak selamat, penerbangan perlu dilencongkan atau dibatalkan. Ini bermakna tempoh penerbangan ke Eropah menjadi lebih panjang, kos bahan api meningkat dan terdapat risiko kelewatan kargo udara.

“Apabila penghantaran tertangguh, kos meningkat dan harga barangan turut naik,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.

Ketegangan di Asia Barat memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sekali gus mencetuskan serangan balas terhadap wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan AS di rantau itu.

Tengku Zafrul berkata, pasaran minyak turut bertindak balas pantas memandangkan Iran terletak berhampiran salah satu laluan minyak paling kritikal di dunia.

“Apabila konflik memuncak, harga minyak melonjak kerana pasaran bimbang gangguan bekalan. Maka harga minyak naik, kos logistik meningkat dan harga barangan turut meningkat,” katanya.

Tambah beliau, apabila keadaan global tidak stabil, pelabur cenderung mencari aset selamat seperti dolar AS dan emas, yang seterusnya memberi tekanan kepada ringgit melalui aliran keluar modal.

“Apabila ringgit tertekan, kos import menjadi lebih mahal,” katanya.

Menyentuh kesan konflik Asia Barat terhadap perbelanjaan rakyat Malaysia, Tengku Zafrul berkata, ia bergantung kepada tempoh konflik tersebut.

“Jika ia singkat, kesannya terhad. Jika berpanjangan, kita perlu bersedia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN