PETALING JAYA:Minyak mentah Brent mencatat kenaikan mendadak sebanyak AS$15 hingga AS$20 setong (RM58.35 hingga RM77.80) daripada paras penutupan terkini, sekali gus mendorong harga menghampiri paras AS$90 setong (RM350.10) susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS) Israel ke atas Iran, menurut Public Investment Bank Bhd. (Public IB).
Firma penyelidikan itu berkata, dalam senario yang lebih serius melibatkan gangguan berterusan terhadap transit melalui Selat Hormuz, harga boleh didagangkan sementara dalam lingkungan AS$100 hingga AS$110 setong (RM389 setong hingga RM427.90 setong) apabila pasaran mengambil kira risiko gangguan fizikal bekalan.
“Bagaimanapun, kami melihat lonjakan semasa ini sebahagian besarnya didorong oleh peristiwa semasa.
“Walaupun OPEC+ telah mengumumkan peningkatan pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari selepas jeda tiga bulan dalam kenaikan output, pertambahan itu tidak mencukupi untuk menampung gangguan berskala penuh, namun ia akan membantu menstabilkan harga apabila ketegangan reda dan aliran bekalan kembali normal.
“Dalam tempoh sederhana, dengan andaian ketegangan mereda, harga Brent boleh susut semula ke paras keseimbangan AS$70 hingga AS$75 setong (RM272.30 hingga RM291.75), menunjukkan semakan menaik sederhana berbanding unjuran kami sebelum ini sebanyak AS$60 setong (RM233.40) bagi 2026, dan bukannya perubahan struktur,” katanya.
Public IB berkata, operasi ketenteraan utama oleh AS dan Israel terhadap Iran telah memperkenalkan semula premium risiko geopolitik ke dalam harga minyak.
“Walaupun Tehran tidak mengeluarkan notis rasmi penutupan, kesesakan kapal tangki berhampiran Selat Hormuz, yang dilaporkan tercetus susulan siaran radio dikaitkan dengan Islamic Revolutionary Guard Corps yang mengumumkan larangan transit, menunjukkan aliran bekalan secara praktikal terhenti apabila pergerakan kapal dihentikan dalam keadaan risiko perang yang meningkat.
“Ini telah mewujudkan kekangan logistik segera dan meningkatkan risiko bekalan jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd. berkata, sentimen harga minyak lazimnya didorong oleh “premium perang”, namun kebiasaannya tidak berkekalan melainkan ketegangan berpanjangan.
“Kami maklum bahawa Iran menyumbang kira-kira 3.0 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dan kondensat global, menjadikannya pengeluar ketiga terbesar dalam OPEC.-UTUSAN










