PETALING JAYA: IEC Telecom Group membuka pejabatnya di Malaysia bagi mengukuhkan pengembangan strategik perkhidmatan ketersambungan perusahaan di rantau Asia Tenggara.
Langkah itu bakal menyaksikan pengenalan teknologi internet satelit Starlink ke pasaran tempatan, khususnya bagi menyasarkan perniagaan dan komuniti di kawasan luar bandar serta sektor maritim yang berdepan kekangan rangkaian konvensional.
Inisiatif tersebut hadir ketika negara sedang memperkukuh infrastruktur digital nasional, memandangkan liputan 5G di kawasan pedalaman seperti Sarawak dan Sabah masing-masing masih berada pada tahap 63.8 peratus dan 68.6 peratus setakat pertengahan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IEC Telecom, Antoine Veillon berkata, sebagai rakan kerjasama Starlink sejak 2022, syarikat itu kini berada di kedudukan kukuh untuk menyokong aspirasi digital Malaysia melalui kepakaran global selama 30 tahun.
“Pembukaan pejabat di Malaysia yang merupakan pejabat ketiga kami di rantau Asia Pasifik (APAC) memperkukuh komitmen jangka panjang kami terhadap pembangunan ketersambungan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
“Kami menyediakan perkhidmatan komunikasi satelit yang disesuaikan untuk sektor tenaga, maritim, kerajaan dan logistik bagi memastikan ketersambungan stabil dalam persekitaran infrastruktur yang terhad,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan APAC IEC Telecom, Hisham Ghaffar menjelaskan, Malaysia merupakan pasaran strategik bagi peluasan digital di rantau ini.
Beliau berkata, sebagai penjual semula Starlink yang sah, pihaknya akan merapatkan jurang ketersambungan di kawasan yang tidak diliputi infrastruktur sedia ada bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
“IEC Telecom Malaysia telah memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan bakal menggabungkan rangkaian satelit, terestrial serta hibrid dengan sokongan teknikal tempatan secara langsung,” katanya.
Syarikat itu bukan sekadar membekalkan jalur lebar, malah membina ekosistem bersepadu yang disokong oleh portal pengurusan khusus bagi memastikan rangkaian yang selamat dan berskala mengikut keperluan operasi tempatan.
Usaha itu selari dengan kejayaan projek rintis (PoC) kerajaan pada 2024 di Kampung Orang Asli Kerling yang membuktikan keberkesanan satelit dalam merapatkan jurang digital di kawasan paling terpencil di negara ini. – UTUSAN










