PETALING JAYA: Industri tenusu negara melakar sejarah baharu apabila Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) secara rasmi memulakan penghantaran eksport susu segar secara pukal yang pertama dari ladang F&N AgriValley, Gemas ke Singapura.
Pencapaian ini bukan sahaja menjadi mercu tanda bagi F&N, malah membuktikan keupayaan Malaysia dalam sektor penternakan tenusu moden berskala besar bagi memperkukuh keterjaminan makanan domestik dan serantau.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, langkah ini mencerminkan peningkatan piawaian pertanian moden negara yang kini mampu memenuhi keperluan antarabangsa yang ketat.
“Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pemain utama serantau dalam pengeluaran tenusu berkualiti tinggi melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta,” katanya dalam kenyataan.
Bagi penghantaran sulung ini, sebanyak 40,000 liter susu segar asli dibawa menggunakan dua lori tangki khas menuju ke kilang pemprosesan F&N di Singapura.
Pengarah Urusan F&N Foods Pte Ltd, Siew Peng Yim berkata, proses ini merupakan satu transformasi besar kerana susu segar tersebut dapat tiba untuk diproses dan dibungkus dalam tempoh 24 jam selepas diperah, sekali gus menjamin kesegaran maksimum buat pengguna di Singapura.
Sementara itu, Pengarah F&N AgriValley, Datuk Raffiq Md Ariff menegaskan komitmen syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih bagi susu segar.
“Ini hanyalah permulaan. Sebelum ini, kami telah pun mengeksport Susu Steril Bear Brand ke Kemboja menggunakan susu segar dari Gemas. F&N AgriValley menggunakan sistem persekitaran pintar dan pemerahan susu berputar tertutup sepenuhnya bagi memastikan kualiti susu tidak terjejas,” katanya.
Ladang tersebut juga mematuhi piawaian ketat Agensi Makanan Singapura (SFA), di mana setiap titis susu melalui pemeriksaan kawalan kualiti yang rapi bermula dari peringkat bahan mentah sehingga pengisian tangki eksport.
Kejayaan ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam aspek bimbingan teknikal, kuarantin ternakan serta pengurusan permit eksport. – UTUSAN










