PETALING JAYA: Bersempena sambutan Aidilfitri, Farm Fresh Berhad tampil dengan kelainan menerusi iklan raya terbaru berjudul Bersama Semoola dengan bertemakan persahabatan, pertemuan semula, minat dan keberanian.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, filem muzikal pendek berdurasi 12 minit itu turut menggabungkan jenaka dan emosi dalam sebuah kisah perayaan yang turut menyentuh hati.
“Filem pendek ini mengangkat kisah ringkas tentang persahabatan, keluarga dan bagaimana muzik itu mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan kenangan lama melalui filem pendek kami dan lagu runut bunyi asal (OST) yang telah dimainkan di radio dan Spotify.
“Kempen ini mencatat satu pencapaian penting sebagai iklan raya pertama Farm Fresh yang menampilkan dengan OST yang dipersembahkan oleh Margasatwa di mana lagu ini merupakan lagu raya pertama dalam diskografi mereka, lengkap dengan video muzik khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersama Semoola dibintangi oleh Khir Rahman bersama Dboy Hamdan, Monrasli Aswad serta Azmi yang turut memegang peranan penting di layar sebagai salah seorang anggota kumpulan empat sekawan yang menjadi tunjang cerita.
Ia mengisahkan empat bekas anggota band era 70-an yang cuba membuat kemunculan semula dengan lagu raya baharu.
Melalui gelak tawa, muzik dan emosi yang belum terlerai, mereka mengeratkan kembali hubungan dan menemui semula keberanian untuk bermula semula.
Iklan raya itu diarahkan oleh Faizal Noar dengan keserasian pelakon yang terasa semula jadi dan hangat di layar.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, filem itu meraikan kebersamaan, keluarga, dan kekuatan untuk mengeratkan kembali hubungan, disulami dengan hubungan ayah dan anak perempuannya.
Katanya, walaupun banyak filem perayaan menumpukan kepada dinamika keluarga tradisional, Bersama Semoola memberi tumpuan kepada persahabatan yang akhirnya menjadi keluarga.
“Ia turut mengetengahkan watak berusia sebagai teras penceritaan, membuktikan bahawa minat dan semangat tidak pernah luput, malah sentiasa boleh dinyalakan kembali.
“Diinspirasikan daripada humor dan keunikan karya Mamat Khalid menerusi Rock Ooo, filem ini menggabungkan elemen nostalgia dengan gaya muzikal sinematik,” katanya.
Bersama Semoola kini mula disiarkan di YouTube, TikTok dan Facebook di mana orang ramai turut dijemput untuk menyertai kemeriahan dengan menghasilkan cover lagu itu sebagai satu momen kebersamaan komuniti. – UTUSAN










