PETALING JAYA: Bursa Malaysia kini semakin menghampiri paras psikologi 1,800 mata dengan momentum pasaran kekal stabil dan cenderung meningkat secara sederhana.
Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, walaupun tiada petunjuk lonjakan mendadak dalam masa terdekat, sentimen keseluruhan masih positif disokong oleh asas domestik yang berdaya tahan.
“Seiring musim laporan pendapatan korporat yang masih berlangsung, pelabur terus menilai daya tahan pertumbuhan domestik Malaysia berbanding ketidaktentuan global, khususnya berkaitan hala tuju kadar faedah dan permintaan luar.
“Selagi tiada kejutan negatif besar dari luaran, FBM KLCI dijangka terus menguji paras lebih tinggi secara beransur-ansur, meskipun kenaikan dijangka bersifat terkawal dan tidak agresif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Paul berkata, pergerakan mampan ke arah paras 1,800 memerlukan peningkatan jelas dalam momentum pendapatan, khususnya daripada sektor berwajaran tinggi seperti perbankan, perladangan dan utiliti.
“Pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh, margin keuntungan yang stabil serta penggunaan domestik yang berdaya tahan akan memperkukuh keyakinan terhadap keuntungan korporat.
“Selain itu, aliran masuk dana asing yang konsisten amat penting memandangkan saham bermodal besar banyak bergantung kepada penyertaan institusi untuk menggerakkan indeks ke paras lebih tinggi,” katanya.
Jelas Paul, kestabilan luaran, termasuk kejelasan hala tuju kadar faedah global dan pertumbuhan serantau yang mampan, juga mampu mengurangkan ketidaktentuan serta menyokong penilaian pasaran yang lebih tinggi.
“Tanpa penjajaran faktor-faktor ini, sebarang kenaikan berkemungkinan tidak dapat bertahan lama,” katanya.
Beliau berkata, prestasi sektor perbankan terus menjadi pemacu utama sentimen pasaran berikutan wajaran besarnya dalam indeks penanda aras.
“Apabila bank-bank melaporkan pertumbuhan keuntungan yang kukuh dan kualiti aset yang stabil, ia mencerminkan keadaan kredit serta aktiviti ekonomi domestik yang sihat, sekali gus menyokong keyakinan pelabur.
“Namun, sekiranya margin keuntungan mengecil atau unjuran menjadi lebih berhati-hati, potensi kenaikan pasaran akan menjadi terhad.
“Setakat ini, keputusan kewangan yang diumumkan adalah secara umumnya menyokong pasaran, tetapi belum cukup kuat untuk mencetuskan rali agresif menjelaskan mengapa sentimen kekal konstruktif namun terkawal, dan bukannya terlalu optimistik,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, dijangka bergerak dalam jajaran 1,730 hingga 1,760 mata minggu hadapan berikutan ketiadaan pemangkin baharu yang mampu menggerakkan pasaran ke paras lebih tinggi.
“Usaha untuk mencapai paras psikologi 1,800 mata dalam masa terdekat adalah sukar memandangkan sentimen semasa masih berhati-hati dan tidak disokong oleh perkembangan baharu yang signifikan.
“Tanpa petunjuk jelas daripada faktor domestik atau luaran, pergerakan indeks dijangka kekal terkawal dalam julat semasa,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kaunter berwajaran tinggi yang berkaitan dengan indeks utama telah menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.
“Bagaimanapun, laporan audit serta keputusan keuntungan penuh tahun kewangan berkenaan masih belum diumumkan, sekali gus mengehadkan dorongan belian baharu dalam kalangan pelabur institusi,” katanya.
Sementara itu, sektor perbankan yang mempunyai wajaran besar dalam indeks juga dijangka belum memberi kesan signifikan kepada pergerakan pasaran dalam tempoh terdekat.
“Impak lebih ketara hanya dijangka berlaku selepas penyata kewangan rasmi diumumkan sekitar Mac atau April, yang bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai prestasi keuntungan, pertumbuhan pinjaman serta kualiti aset.
“Sehingga keputusan tersebut diterbitkan, pasaran dijangka bergerak secara berhati-hati dengan kecenderungan dagangan dalam julat sempit, sementara pelabur menunggu pemangkin yang lebih jelas sebelum membuat penilaian semula terhadap hala tuju indeks,” katanya. – UTUSAN











