BNM kekalkan OPR 2.75 peratus - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR 2.75 peratus

BNM kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sejak Julai 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, dengan mengambil kira keadaan ekonomi domestik yang stabil walaupun wujud ketidaktentuan berpunca daripada konflik berterusan di Asia Barat.

Bank pusat itu berkata, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari.

“Walau bagaimanapun, konflik terkini di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan kesannya akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik.

“Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, BNM berkata, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.

“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan

tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” katanya.

Dalam pada itu, bank pusat itu berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 persundalan pada 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negeri yang giat.

“Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada 2026, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan,” katanya.

Menurut BNM, sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik terkini di Asia Barat.

“Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Selain itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” katanya.

Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada bulan Januari 2026.

Secara keseluruhan, BNM berkata,  inflasi keseluruhan pada 2026 dijangka kekal sederhana.

“Walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal.

“Inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” katanya.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023.

OPR kemudiannya dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023 dan kini kekal 2.75 peratus sejak Julai 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN