JOHOR BAHRU: Pekerja Malaysia di Singapura terpaksa menempuhi perjalanan sehingga tiga jam untuk ke tempat kerja susulan peningkatan pemeriksaan keselamatan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik tersebut.
Perjalanan yang sebelum ini dijangka memakan masa satu jam setengah ekoran langkah keselamatan ketat diambil Singapura pada minggu ini ekoran ketegangan yang sedang berlaku di Asia Barat.
Seorang jurutera, Ahmad Samion Ismail, 38, berkata, kebiasaannya dia akan keluar rumah pada pukul 5.30 setiap pagi, namun perkembangan terkini memaksa untuk keluar lebih awal.
“Secara purata masa perjalanan biasanya sekitar 45 minit hingga satu jam setengah bergantung keadaan trafik harian, namun dengan pemeriksaan lebih ketat, tempoh perjalanan telah meningkat antara dua jam atau tiga jam khususnya pada waktu puncak.
“Ini kerana barisan di lorong pemeriksaan bergerak lebih perlahan kerana setiap kenderaan diperiksa lebih teliti dan aliran trafik tersangkut di beberapa hentian sebelum sampai ke kaunter Imigresen Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kata Ahmad Samion, kebiasaannya dia memasuki Singapura melalui Laluan Kedua, namun sejak seminggu ini keadaan trafik dilihat semakin teruk dipercayai oleh kesesakan yang berlaku di Tambak Johor.
“Saya perasan minggu ini kesesakan di Laluan Kedua bertambah, mungkin ramai yang beralih dari Tambak Johor ke sini untuk elak kesesakan. Tiada apa-apa yang boleh kita buat kecuali akur.
“Cuma harapan saya agar pemeriksaan keselamatan itu dapat dibuat secara lebih efisien walaupun telah ditingkatkan. Mungkin ada yang dapat pihak berkuasa Singapura lakukan untuk tambah baik keadaan ini,” katanya.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Raja Mohammad Haziq Raja Jaafar, 32, memberitahu, dia akan memeriksa aplikasi kesesakan jalan raya terlebih dahulu setiap hari sebelum memasuki Singapura.
“Tempat kerja saya lebih dekat dengan Laluan Kedua, namun ada kalanya saya juga melalui Tambak Johor jika keadaan trafik sesak. Jadi setiap hari saya akan lihat peta terlebih dahulu sebelum keluar rumah.
“Saya biasanya keluar rumah pukul 5 pagi, jadi ketika itu kesesakan belum terlalu teruk, walaupun awal tapi lebih baik daripada terpaksa harung keadaan sesak sehingga berjam-jam lamanya,” katanya.-UTUSAN











