Jelawat ‘asli’ Sungai Jelai dijual RM350 sekilogram

Jelawat ‘asli’ yang hampir pupus di Sungai Jelai dijual RM350 sekilogram

MOHD. Shukri Yusof menunjukkan ikan jelawat seberat empat kilogram yang ditangkapnya di Sungai Jelai di Lipis, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Musim kemarau yang melanda semasa ketibaaan Ramadan membawa rezeki tidak disangka buat seorang nelayan darat dari Mela di sini, apabila menaikkan seekor ikan jelawat seberat empat kilogram dari Sungai Jelai, baru-baru ini.

Ikan jelawat sungai atau nama saintifiknya Leptobarbus melanotaenia adalah spesies ikan air tawar tempatan yang semakin sukar ditemukan di Sungai Pahang dan anak sungainya.

Keunikan dan keaslian ikan jelawat liar itu menjadikannya buruan peminat ikan sungai bernilai tinggi, khususnya ketika musim kemarau apabila paras air sungai lebih surut dan jernih.

Nelayan terbabit, Mohd. Shukri Yusof, 46, berkata, dia tidak menyangka ikan jelawat ‘asli’ Sungai Jelai yang ditangkapnya itu mendapat permintaan luar biasa sehingga dijual dalam tempoh kurang sejam sahaja.

“Ikan berkenaan dijual pada harga semasa RM350 sekilogram tanpa dibuang perut, menjadikan nilai keseluruhan jualan mencecah RM1,400.

“Alhamdulillah, ini rezeki Ramadan. Hasil jualan ini bolehlah saya gunakan untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Besar Bunga Cengkih di sini.

Mohd. Shukri berkata, musim kemarau memberi kelebihan kepada nelayan darat kerana ikan jelawat biasanya keluar dari lubuk mencari makanan.

“Waktu beginilah peluang untuk dapat jelawat sungai yang benar-benar asli. Tetapi bukan selalu, apatah lagi saiz besar seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×