Bekas pelajar ‘kelas belakang’ hadiahkan guru motosikal

Bekas pelajar ‘kelas belakang’ hadiahkan guru motosikal

ZAINOL Ramli (tengah) bersama lima bekas pelajarnya di SMK Naka yang menghadiahkan motosikal sempena persaraanya di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Jasa guru sememangnya tidak ternilai sehubungan itu sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naka di sini mengumpul wang membeli hadiah motosikal sempena persaraan seorang guru mereka.

Itu dilakukan lima sahabat karib yang menghadiahkan guru mereka, Zainol Ramli, 56, atau dikenali sebagai Cikgu Non sebuah motosikal jenis Modenas Kriss berharga RM3,500.

Menurut Muhammad Zulifran Zulkifli, dia bersama Muhammad Iskandar Zulkarnain; Muhammad Akif Ashraf Mohd. Fazli; Ahmad Azizi Hakim Salleh dan Muhammad Hafiz Aizan Shahrul Anuar yang kesemua mereka berusia 18 tahun sepakat berkongsi wang simpanan hasil kerja sambilan untuk membeli hadiah itu.

“Jasa Cikgu Non lebih mahal daripada motosikal bernilai RM3,500 ini. Mula-mula nak beli hadiah biasa sahaja tetapi selepas fikirkan jasa beliau, kami tukar beli motosikal.

“Cikgu sangat berjasa kepada kami sebagai pelajar kelas belakang yang dianggap tiada masa depan tetapi dia selalu beri semangat, tak pernah putus asa dengan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Nerang, di sini semalam..

Ujarnya, kehadiran Zainol ke sekolah tersebut pada 2024 banyak mengubah sikap mereka yang selalu berpesan tentang adab dan kepentingan pendidikan.

“Walaupun kami lemah dalam pelajaran, cikgu tetap sabar, tetap beri semangat. Sebab cikgulah kami jadi semangat hendak ambil SPM dan berharap untuk lulus. Cikgu buat kami percaya yang kami juga boleh berjaya,” katanya.

Katanya, perancangan menghadiahkan motosikal itu dibuat dua minggu sebelum majlis persaraan guru berkenaan yang juga Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) di SMK Naka.

“Kami semua bekerja sambilan selepas tamat SPM, ada yang berniaga, ada yang jadi buruh kontrak dan bekerja di gerai-gerai.

“Daripada wang simpanan ini kami kongsi beli motosikal untuk cikgu. Kami beli motosikal sebab senang untuk cikgu ke masjid atau kebun selepas pencen,” ujarnya.

Sementara itu, Zainol yang lebih 31 tahun berkhidmat sebagai guru berkata, Ramadan ini cukup bermakna buatnya apabila menerima kejutan manis itu.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan pada hari itu antara sebak dan gembira. Ini hadiah paling bermakna buat saya sepanjang 31 tahun menjadi guru. Mereka menghargai saya walaupun kurang dua tahun berkhidmat di sekolah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN