Thunder LS250-S sudah cukup ‘garang’

Thunder LS250-S sudah cukup ‘garang’

REKA bentuk Thunder LS250-S diinspirasikan oleh pereka jentera ubah suai, Yuji Noro dari Jepun dan Ka-san dari China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI adalah motosikal ubah usai (custom) untuk diperkenalkan dan dipasarkan ke seluruh dunia. Saya begitu yakin dengan reka bentuknya (diterima pelanggan) dan mahu memastikan setiap orang yang melihat terus jadi teruja untuk menunggangnya.”

Itu penjelasan Yuji Noro ketika ditanya mengenai inspirasinya dalam mereka bentuk dan membina Thunder LS250-S, iaitu model bobber yang baharu diperkenalkan di negara ini. Yuji ialah pembuat motosikal ubah suai terkenal dari Jepun yang juga pengasas bersama Thunder Motorcycles.

Reka bentuk Thunder yang diasaskan secara kerjasama oleh Yuji dan pereka jentera ubah suai nombor satu dari China, Ka-san sememangnya dikenali dengan rekaan yang autentik dan estetika. Ya, memang benar.

Bercirikan asid deoksiribonukleik (DNA) bobber ubah suai Jepun, iaitu Heiwa and Brat Style, LS250-S tampil dengan reka bentuk kemas, bergaya klasik dengan sentuhan moden. Saya yang bukan peminat motosikal ubah suai dan bobber pun boleh jadi teruja pertama kali melihatnya.

Meskipun tampil dengan rekaan minimalis dan tempat duduk solo, tetap terdetik dalam hati saya mahu memilikinya! Didatangkan terus dari kilang, tiada pengubahsuaian yang berkos tinggi diperlukan sekali gus ‘selamat’ poket. 

Semua cukup, memang sudah nampak ‘garang!’ Kalau perlu pun mungkin tambah atau ganti dua, tiga aksesori seperti cermin sisi di hujung hendal, beg sisi atau pemegang plat nombor sisi untuk nampak lebih ranggi.

Oleh kerana model ini standard kilang, tiada apa yang perlu dirisaukan kalau berdepan atau ditahan pihak berkuasa. Motosikal ubah suai ini sudah dapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermakna tempah, bayar dan sudah boleh daftar nama pemilik.

Meskipun didatangkan terus dari kilang, setiap unit yang keluar tidak sama identitinya berikutan beberapa komponen dihasilkan secara buatan tangan. Komponen-komponen buatan tangan adalah penyerap hentakan depan, ekzos dan kerangka badan.

EKZOS Thunder LS250-S menghasilkan bunyi bertenaga dan agresif apabila pendikit dipulas.

Jadi, setiap unit pasti ada keistimewaan dan keeksklusifan tersendiri. Berbeza dengan pengeluaran motosikal secara besar-besaran yang mana lebih bersifat ‘fotokopi’ bagi setiap unit.

Penyerap hentakan depan adalah jenis Springer Fork-Classic 74, iaitu reka bentuk klasik yang sudah digunakan sejak 1940-an. Suspensi jenis ini sahaja dikatakan berharga RM6,000 kalau dibeli dari pasaran.

Kerangka badannya didatangkan dalam dua jenis iaitu hardtail (tiada suspensi belakang) yang memberikan rupa bentuk klasik dan softail (suspensi belakang tersembunyi) yang lebih selesa tapi masih mengekalkan identiti bobber. Kelebihan kerangka yang dibuat secara manual adalah ia dapat mengurangkan rasa getaran pada penunggang walaupun tiada suspensi belakang (hardtail).

Bagaimana pula dengan bunyi ekzos LS250-S? Bertenaga dan agresif apabila dipulas pendikit.

Dari jauh sudah kedengaran kehadirannya. Namun, bunyi nyaring ini mematuhi standard Euro 5+ termasuk dari segi pelepasan asap.

Tayarnya pula jenis Shinko bersaiz 16 inci depan dan belakang yang direka dan dihasilkan menerusi kejuruteraan Jepun yang menggabungkan prestasi, ketahanan dan harga mampu milik berbanding jenama-jenama premium dalam pasaran. Bagi yang mengubah suai motosikal di luar untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan seperti LS250-S perlu mengeluarkan belanja sendiri sekurang-kurangnya RM10,000.

Bagaimanapun, pemilik LS250-S masih boleh menambah pelbagai aksesori lain yang diimport dari Jepun secara dalam talian menerusi https://www.thundermotorcycles.jp.

LS250-S dilengkapi enjin V 2-silinder berkapasiti 249 cc dengan kuasa maksimum 13 kilowatt (KW) pada 8,000 putaran per minit (rpm) dan tork maksimum 19 meter Newton (Nm) pada 6,000 rpm. Kuasa enjin sebegini dengan tinggi tempat duduk 650 milimeter (mm) dan berat 181 kilogram (kg) mudah dikawal, sesuai untuk penunggang baharu.

LAMPU depan jenis bulat berciri klasik.

Penunggang baharu juga tidak perlu risau kerana tidak memerlukan lesen B penuh untuk memiliki LS250-S kerana kapasiti enjin tidak melebihi 250 cc, memadai B2. Ini juga satu kelebihan kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dalam dunia ubah suai motosikal.

Tangki bahan api berbentuk kacang mencetuskan gaya vintaj, cuma kapasitinya hanya tujuh liter yang mungkin mampu pergi sejauh 180 kilometer dalam kelajuan sederhana. Brek depan dan belakang adalah jenis sistem brek antikunci (ABS) dengan cakera bersaiz 300 mm dan 280 mm. 

Seramai 88 orang dari Malaysia menjadi pemilik pertama LS250-S di dunia. Jumlah pembeli ini sekali gus menjadikan komuniti LS250-S yang besar di negara ini. 

Ia secara tidak langsung membolehkan mereka mengadakan pelbagai aktiviti termasuk konvoi, pameran ubah suai motosikal serta bertukar-tukar maklumat mengenai model berkenaan dan jenama Thunder, juga sokongan alat ganti tempatan.

Majlis pelancaran dan penyerahan motosikal tersebut kepada kumpulan pertama pemiliknya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC), baru-baru ini. Ia disempurnakan oleh Pengarah Urusan Bike Continent Sdn. Bhd. iaitu pengedar rasmi Thunder di negara ini, Ronnie Chen.

Selepas ini, Brazil bakal menjadi lokasi kedua pelancaran LS250-S. Ronnie ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, harga RM23,788 yang ditawarkan kepada pembeli di negara ini masih dianggap berpatutan berbanding motosikal buatan luar negara yang lain.

“Selalunya harga di Malaysia adalah lebih tinggi daripada harga di luar negara. Di Jepun, harganya (LS250-S) adalah 996,000 yen atau bersamaan RM26,000,” katanya.

Beliau tidak menetapkan sasaran tinggi untuk jumlah jualan berikutan segmen ini adalah rendah kerana ia bukan motosikal kegunaan harian tapi lebih kepada tunggangan pada hujung minggu. Beliau sebaliknya mahu pembeli lebih menghargai nilai yang ada pada motosikal itu.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin LS250-S mampu dijual antara 500 hingga 600 unit pada tahun ini.

“Saya mahukan mereka (pemilik) menikmati gaya hidup menyeronokkan apabila menunggangnya. Saya mahu mereka merasai kebebasan, gunakannya untuk menunggang pada hujung minggu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN