PETALING JAYA: TA Securities menyemak turun penarafan taraf sektor minyak dan gas daripada ‘neutral’ kepada ‘underweight’ berikutan pemulihan yang tidak menyeluruh dan dijangka menekan momentum pertumbuhan hasil industri.
Firma pembrokeran berkata, ini memandangkan Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) 2026-2028 menunjukkan persekitaran aktiviti yang stabil tetapi tidak sekata, dengan pemulihan tertumpu pada aliran kerja terpilih dan bukannya kitaran naik yang meluas.
Pihaknya berpendapat PAO 2026-2028 membentangkan pelan hala tuju yang seimbang dan pragmatik ketika Petronas mengharungi ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik serta peralihan tenaga jangka panjang.
“Walaupun kumpulan terus menzahirkan aspirasi untuk berkembang menjadi ‘energy superstore’ bersepadu dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, strategi jangka pendek hingga sederhana kekal berteraskan kesinambungan operasi minyak dan gas teras bagi menjamin keselamatan tenaga negara serta ketahanan aliran tunai.
“Dari segi huluan, pada penilaian kami, keutamaan terus diberikan kepada kelestarian pengeluaran domestik, disokong oleh aktiviti penerokaan yang dipertingkatkan, pembangunan laut dalam secara terpilih serta penganugerahan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu.
“Sementara itu, usaha hiliran menumpukan kepada kecekapan operasi dan kepelbagaian berperingkat ke arah segmen bernilai lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, PAO turut memberi penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan ekosistem, dengan peningkatan keupayaan perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), penambahbaikan produktiviti dan pembangunan bakat dikenal pasti sebagai pemangkin utama pelaksanaan.
“Secara keseluruhan, kami melihat PAO 2026-2028 sebagai bersifat evolusi dan bukannya gangguan, mengekalkan asas aktiviti berteraskan huluan yang stabil sambil secara berperingkat mengintegrasikan inisiatif peralihan tenaga melalui kerjasama, penggunaan teknologi dan kepelbagaian yang terukur.
“Dalam konteks ini, kami menghuraikan di bawah tema-tema utama PAO 2026-2028, yang menterjemahkan hasrat strategik Petronas kepada keutamaan aktiviti yang dapat diperhatikan, pemacu pelaksanaan serta implikasinya terhadap ekosistem OGSE yang lebih luas,” jelasnya.
Bagi segmen fabrikasi struktur tetap, Petronas menyasarkan 10 unit pada 2026, enam unit (2027) dan lapan unit (2028), dengan peralihan campuran kepada Wellhead Platform (WHP) bersaiz sederhana.
TA Securities menjangkakan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad sebagai antara penerima manfaat utama berikutan pendedahan langsung kepada kontrak WHP berkaitan Petronas.
Berdasarkan kepada potensi besar pemerolehan tender kerja-kerja berkenaan, firma memberikan saranan ‘beli ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 49 sen.
“Aktiviti loji dijangka memuncak pada 2026 dengan 12 loji, lebih linggi berbanding enam loji pada 2025 dan 2027, sekali gua merupakan kenaikan ketara berbanding unjuran PAO terdahulu,” katanya.
Jelasnya, segmen ini pula dijangka memanfaatkan Steel Hawk Berhad, yang memiliki keupayaan dalam kerja-kerja loji serta turut diberi saranan ‘beli’ dengan TP masih kekal 41 sen sesaham. – UTUSAN










