PETALING JAYA: Ringgit meneruskan pengukuhan ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun, didorong sentimen pasaran global yang semakin pulih serta peningkatan selera risiko dalam kalangan pelabur.
Mata wang tempatan mengukuh melepasi paras psikologi RM3.90 sebelum ini dan seterusnya diniagakan sekitar RM3.88, menunjukkan momentum belian yang berterusan terhadap aset negara sedang pesat membangun.
Pada awal dagangan semalam, ringgit meningkat kepada 3.8835/9065 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada 3.8995/9055 pada penutupan Jumaat lalu. Ringgit kemudian ditutup pada 3.8870/8930.
Kali terakhir mata wang tempatan mencapai paras berkenaan adalah pada 2 Februari 2018, iaitu 3.8830/8870.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peningkatan ringgit dan juga beberapa mata wang asing di rantau ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan dasar tarif Donald Trump atas alasan Presiden telah melampaui had kuasanya.
Menurut beliau, keputusan itu memberi gambaran bahawa prinsip pemisahan kuasa di AS masih terpelihara dan berfungsi dengan baik.
“Ia sekali gus menunjukkan pelaksanaan tarif import baharu berkemungkinan mengambil masa lebih panjang untuk direalisasikan.
“Perkembangan tersebut mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan kemerosotan permintaan dari AS yang sebelum ini dijangka lebih negatif.
“Justeru, pasaran kewangan global menyaksikan peningkatan selera risiko, sekali gus menyokong pengukuhan mata wang serantau termasuk ringgit,” ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dari sudut analisis teknikal, beliau berkata, paras sokongan ringgit berbanding dolar AS kini berada pada RM3.8722.
“Paras RM3.88 hingga RM3.89 dilihat sebagai julat yang munasabah dalam tempoh terdekat, mengambil kira faktor teknikal dan sentimen semasa,
“Dengan momentum positif yang sedang berlaku, ringgit dijangka terus diniagakan dalam keadaan mengukuh dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das pula berkata, pengukuhan ringgit ke paras tertinggi dalam beberapa tahun didorong oleh keyakinan pelabur yang kukuh terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, asas makroekonomi yang mantap serta disokong jumlah perdagangan yang mencatat rekod baharu.
Katanya, aliran masuk modal asing yang ketara ke dalam pasaran bon dan ekuiti tempatan turut memperkukuh momentum mata wang itu.
“Pasaran juga bertindak balas terhadap peralihan dana global ke aset pasaran sedang pesat membangun, dengan Malaysia dilihat sebagai destinasi yang relatif stabil dan menarik, khususnya dalam sektor teknologi serta pelaburan bernilai tinggi.
“Data ekonomi domestik yang menunjukkan permintaan kukuh dan lebihan dagangan yang semakin berkembang turut menjadi asas kepada kekuatan ringgit.
“Malah, dasar monetari Bank Negara Malaysia yang mengekalkan kadar faedah stabil serta kredibiliti makroekonomi yang tinggi turut memainkan peranan penting.
“Pendekatan berhati-hati tanpa perubahan dasar secara mendadak, di samping kawalan inflasi pada tahap sederhana, membantu mengukuhkan jangkaan pasaran dan meningkatkan daya tarikan ringgit dalam kalangan pelabur tempatan serta asing,” katanya.
Pada masa sama, jelasnya, kekuatan ringgit berkait dengan kelemahan dolar AS apabila pasaran mengambil kira kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), yang mengecilkan jurang kadar faedah dan mengurangkan sokongan terhadap dolar.
“Namun begitu, pengukuhan semasa semakin didorong oleh faktor asas domestik Malaysia dan bukan semata-mata pergerakan dolar AS,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka meneruskan momentum pengukuhan minggu ini dengan berpotensi menguji paras RM3.80 berbanding dolar AS, disokong faktor luaran dan domestik yang semakin memihak kepada mata wang tempatan.
“Paras RM3.80 dianggap signifikan kerana pernah menjadi paras psikologi ketika tambatan ringgit kepada dolar AS pada 1998 selepas krisis kewangan Asia,” katanya.
Jelas beliau, ketidaktentuan ekonomi AS dilihat antara pemacu utama kelemahan dolar AS.
“Situasi bertambah tegang apabila tarif baharu antara 10 hingga 15 peratus diumumkan, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kedudukan fiskal dan prospek ekonomi AS.
“Indeks dolar AS (DXY) turut merosot 0.31 peratus kepada 97.4 mata dalam sehari, mencerminkan tekanan berterusan ke atas mata wang tersebut.
“Pelabur global dilaporkan mengimbangi semula portfolio dengan mengurangkan pegangan aset AS termasuk bon kerajaan, sekali gus melemahkan dolar dan memberi ruang kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit untuk mengukuh,” katanya. -UTUSAN










