PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan negara dijangka meningkat kepada 5.5 peratus tahun ini, disokong saluran pembiayaan sedia ada, aktiviti pelaburan berterusan serta permintaan kredit yang kekal stabil.
CIMB Securities berkata, walaupun pertumbuhan pinjaman 2025 sederhana pada kadar 4.9 peratus tahun ke tahun (YoY), unjuran bagi 2026 dikekalkan lebih kukuh berikutan petunjuk asas kredit yang masih sihat.
Menurut firma penyelidikan itu, penyederhanaan kepada 4.9 peratus YoY tahun lalu berbanding 5.7 peratus pada 2024 banyak dipengaruhi pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih perlahan, khususnya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak mencerminkan kelembapan ekonomi, sebaliknya menunjukkan peralihan strategi pembiayaan korporat yang semakin memanfaatkan pasaran bon.
“Sejajar dengan saluran pinjaman sedia ada, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman 2026 pada kadar 5.5 peratus, disokong permintaan pembiayaan dan aktiviti pelaburan.
“Kami juga mengekalkan penarafan ‘overweight’ bagi sektor perbankan berikutan jangkaan minat pelabur yang mampan, disokong keterlihatan dividen serta potensi pengembangan pulangan atas ekuiti (ROE),” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, susulan kenaikan harga saham bank kebelakangan ini, pendedahan sektor pilihan semasa ialah Public Bank, Maybank dan Affin.
Mengulas lanjut, CIMB Securities berkata, pertumbuhan pinjaman sistem yang merangkumi bank dan institusi kewangan pembangunan (DFI) meningkat 4.9 peratus YoY pada Disember 2025 berbanding 5.5 peratus YoY pada November 2025 dan 5.7 peratus YoY pada Disember 2024.
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan mereda kepada 3.7 peratus YoY berbanding 5.0 peratus YoY pada November 2025 dan 5.3 peratus YoY pada Disember 2024, namun pinjaman korporat besar serta pembiayaan berkaitan pelaburan terus menyokong pertumbuhan kredit keseluruhan.
“Dalam masa sama, pembiayaan melalui bon korporat berkembang 6.9 peratus YoY pada Disember 2025, meningkat daripada 5.0 peratus YoY pada November 2025 dan 3.8 peratus YoY pada Disember 2024,” katanya.
Bagi sektor isi rumah, pertumbuhan pinjaman mencatat 5.6 peratus YoY pada Disember 2025 berbanding 5.7 peratus YoY bulan sebelumnya, namun lebih rendah berbanding 5.9 peratus YoY pada Disember 2024.
Mengikut pecahan sektor, pinjaman bagi bangunan industri dan kilang meningkat 11.6 peratus YoY, diikuti pembelian tanah sebanyak 11.4 peratus YoY, rumah kedai 5.7 peratus YoY serta pembinaan 6.6 peratus YoY, mencerminkan kesinambungan pelaburan modal.
Sebaliknya, pertumbuhan pinjaman modal kerja menyederhana kepada 2.0 peratus YoY.
Tambahnya, dari sudut wilayah, pertumbuhan pinjaman kekal mampan di Selangor pada 5.4 peratus YoY, Kuala Lumpur 4.3 peratus YoY dan Sarawak 5.2 peratus YoY, sejajar perkembangan perindustrian serta aliran pelaburan langsung asing dan domestik.
“Walaupun permohonan pinjaman merosot 17.9 peratus bulan ke bulan pada Disember 2025 dan kelulusan baharu susut 0.3 peratus, turun naik itu dilihat bersifat teknikal dan tidak menandakan perubahan arah kitaran kredit,” tambahnya. – UTUSAN










