Oiltek rancang penyenaraian sekunder di a Bursa Malaysia

Oiltek rancang penyenaraian sekunder di Pasaran Utama Bursa Malaysia

HENRY YONG KHAI WENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oiltek International Ltd yang tersenarai di Papan Utama Bursa Singapura (SGX) menyasarkan untuk mendapatkan penyenaraian sekunder bagi keseluruhan saham terbitannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

Oiltek merupakan syarikat yang beroperasi menerusi tiga perniagaan utama iaitu penapisan minyak boleh dimakan dan tidak boleh dimakan, tenaga boleh diperbaharui serta jualan dan dagangan produk.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oil­tek, Henry Yong Khai Weng berkata, hasrat itu pertama kali dimaklumkan menerusi pengumuman kepada Bursa Singapura pada 21 Julai 2025.

Bagaimanapun, tarikh sebenar penyenaraian sekunder syarikat tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia masih belum dimuktamadkan.

“Kami teruja dengan perancangan untuk menyenaraikan Oiltek di Bursa Malaysia pada masa akan datang.

“Melalui penyenaraian di­ Malaysia, kami berharap dapat meningkatkan keterlihatan, kecairan saham serta menarik pangkalan pelabur yang lebih pelbagai bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.

“Walaupun berdepan persekitaran operasi global yang mencabar, Oiltek berjaya mencatatkan prestasi yang berdaya tahan bagi tahun kewangan 2025 serta terus meningkatkan nilai kepada para pemegang saham.

“Tahun ini juga menandakan satu lagi pencapaian penting dengan kejayaan pemindahan penyenaraian kami ke Papan Utama SGX-ST, sekali gus mengukuhkan komitmen kami terhadap pertumbuhan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Oiltek turut mengumumkan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 meningkat 7.9 peratus kepada RM32.0 juta berbanding RM29.6 juta pada tahun kewangan 2024.

Ini diterjemahkan kepada pendapatan sesaham sebanyak 7.5 sen.

“Bagi keuntungan bersih tahun penuh, tidak termasuk kerugian pertukaran asing kira-kira RM8.2 juta pada tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan bagi tahun itu meningkat 48.7 peratus kepada RM40.2 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, dari segi hasil, pendapatan kumpulan susut 8.2 peratus daripada kira-kira RM230.3 juta kepada RM211.4 juta pada tahun kewangan 2025.

“Ini berikutan penurunan hasil dalam segmen penapisan minyak boleh dimakan dan tidak boleh dimakan serta segmen jualan dan dagangan produk,” katanya.

Henry berkata, bagaimanapun, penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan hasil dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.

“Oiltek turut mencadangkan dividen akhir sebanyak 0.7 sen Singapura sesaham bagi tahun kewangan 2025, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

“Bersama dividen interim terdahulu sebanyak 0.5 sen Singapura yang dibayar pada September 2025, pemegang saham bakal menerima jumlah dividen keseluruhan sebanyak 1.2 sen Singapura bagi 2025.

“la mewakili kira-kira 52.5 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan selepas cukai bagi 2025,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN