KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 menerima status MD Nexus pertama di Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam agenda ekonomi digital negara serta memperkukuh aspirasi untuk muncul sebagai hab digital serantau.
Pengiktirafan MD Nexus itu diberikan di bawah Inisiatif Pengiktirafan Lokasi MD oleh Kementerian Digital dan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), mengiktiraf lokasi strategik yang dibangunkan khusus untuk menyokong perniagaan digital, perkhidmatan serta inovasi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif MD Nexus diwujudkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dengan mengiktiraf lokasi strategik yang bersedia menempatkan perniagaan dan inovasi digital.
“Pelancaran Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia mencerminkan komitmen kami mewujudkan persekitaran menggalakkan pelaburan, menyokong perusahaan digital serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital yang berdaya saing di peringkat serantau.
“Agenda digital negara juga merupakan enjin utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang dirangka meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta menarik pelaburan berkualiti yang memberi manfaat langsung kepada setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Rasmi Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama di Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara kecerdasan buatan (AI) yang berdaya saing di peringkat global menjelang 2030 dan tahun ini menandakan tempoh peralihan penting apabila mula melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
“Usaha ini bukan sekadar tentang penggunaan teknologi baharu, tetapi membina ekosistem menyeluruh yang merangkumi infrastruktur, bakat serta rangka kerja tadbir urus yang kukuh.
“Ia diterajui oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), bagi memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi juga pengeluar teknologi AI.
“Justeru itu, Inisiatif MD Nexus menyokong matlamat ini dengan mengiktiraf lokasi strategik seperti Merdeka 118 yang dilengkapi keupayaan untuk menjadi hab kepada perniagaan digital bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim berkata, pengiktirafan itu menegaskan peranan Menara Merdeka 118 sebagai lebih daripada sekadar pembangunan mercu tanda.
“Ia mencerminkan tumpuan kami dalam mewujudkan persekitaran berkualiti tinggi dan bersepadu yang menyokong serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan digital Malaysia.
“Pada masa yang sama, pembangunan ini menunjukkan bagaimana sebuah hab digital moden boleh wujud secara harmoni dengan warisan, berteraskan ikon nasional seperti Stadium Merdeka.
“Kami komited menjadikan Merdeka 118 sebagai destinasi global menjelang 2026 bagi perniagaan dan inovasi, sekali gus menjadi lokasi pilihan syarikat multinasional membina dan mengembangkan operasi mereka dengan sokongan presint yang saling berhubung serta berdaya huni,” ujarnya.
Sebagai peneraju dalam aspek kelestarian, Menara Merdeka 118 telah memperoleh pensijilan LEED Platinum dan kini menyasarkan pensijilan bertaraf Platinum di bawah Green Building Index (GBI), GreenRE serta pensijilian WELL.
Pengiktirafan sebagai MD Nexus pertama Malaysia itu turut mengukuhkan lagi kedudukan Menara Merdeka 118 sebagai tempat kerja masa hadapan, disokong oleh teknologi dan infrastruktur digital bertaraf tinggi.
Dalam pada itu, inisiatif Pengiktirafan Lokasi MD merangkumi tiga peringkat, iaitu MD Hub, MD Nexus dan MD Tech Zone serta direka untuk menyelaraskan infrastruktur fizikal dengan objektif dasar digital negara dalam usaha mempercepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. – UTUSAN










