Maybank lancar perintis deposit token, pembayaran rentas sempadan - Utusan Malaysia

Maybank lancar perintis deposit token, pembayaran rentas sempadan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) melancarkan projek perintis sulung deposit token dan pembayaran rentas sempadan berasaskan rantaian blok (blockchain) sebagai sebahagian daripada aspirasi ROAR30 bank itu.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan penyertaan syarikat infrastruktur tenaga global, Yinson Holdings Berhad (Yinson) di bawah Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM).

Projek perintis itu akan meneroka pembayaran rentas sempadan secara dalam rantaian (on-chain) melibatkan ringgit dan token deposit ASEAN lain menerusi platform rantaian blok milik Maybank.

Langkah tersebut bertujuan menilai kebolehlaksanaan teknikal serta tahap kesiapsiagaan operasi dalam melaksanakan transaksi dalam rantaian secara selamat dan hampir masa nyata, di samping membentuk asas reka bentuk infrastruktur pembayaran dan sistem pergerakan wang generasi baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, strategi ROAR30 untuk menjadi institusi kewangan Islam global terkemuka serta peneraju pengurusan kekayaan, transaksi, pembayaran serta perbankan korporat dan pelaburan di ASEAN menuntut bank itu menilai semula cara pergerakan wang dan keperluan pelanggan.

“Bersama pengawal selia, pelanggan dan rakan kongsi, serta dengan pendekatan holistik, pragmatik dan inklusif, kami akan memperluas inisiatif aset digital dan tokenisasi secara berperingkat dalam bidang seperti pelaburan, kewangan Islam dan sokongan kepada PKS.

“Kami terus memacu inovasi bagi memberikan manfaat nyata kepada pelanggan seperti Yinson dan ekonomi sebenar, sambil mengekalkan standard tadbir urus, keselamatan dan integriti kawal selia tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, dengan operasi merentas pelbagai bidang kuasa dan pengurusan perbendaharaan rentas sempadan yang kompleks, pihaknya sentiasa mencari kaedah untuk mengoptimumkan kedudukan kewangan, mengurus risiko dan bertindak pantas terhadap peluang.

Menurutnya, syarikat itu terbuka untuk memanfaatkan teknologi inovatif dengan sokongan pengawal selia dan institusi kewangan kukuh seperti Maybank.

“Penyelesaian dalam rantaian yang membolehkan kitaran penyelesaian dipendekkan kepada hampir masa nyata membantu Yinson mengurus modal kerja dengan lebih cekap serta mengurangkan pendedahan pertukaran asing dan kos transaksi,” katanya.

Seiring pelaksanaan projek itu, Maybank menyasarkan untuk menerajui pelbagai aset token termasuk kewangan Islam bertoken bagi perniagaan daripada syarikat besar hingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain pelanggan runcit termasuk penyelesaian pengurusan kekayaan.

Melalui konsep wang boleh atur cara, bank itu berhasrat memperkasa PKS dengan mengautomasikan aliran pembayaran yang telus daripada pelanggan utama seperti kerajaan dan syarikat korporat, sekali gus membuka akses lebih luas kepada pembiayaan.

Bagi pelanggan pengurusan kekayaan pula, Maybank sedang meneroka produk pelaburan bertoken khususnya aset kewangan Islam seperti sukuk dan dana bagi membolehkan penyertaan lebih meluas menerusi kaedah pemecahan unit.

Dengan kelebihan rangkaian sebagai antara bank terkemuka di ASEAN, Maybank menyasarkan untuk mengurangkan geseran dalam aliran transaksi dan pembayaran sedia ada, di samping meningkatkan pengalaman pelanggan serta mengukuhkan kedudukannya sebagai bank gerbang bagi mata wang dan aset ASEAN bertoken menerusi penyelesaian berasaskan rantaian blok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN