KDNK MALAYSIA dijangka lebih sederhana tahun ini

KDNK Malaysia dijangka lebih sederhana tahun ini

CIMB Investment Bank mengunjurkan ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 4.5 peratus pada 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh lebih sederhana pada tahun ini, berbanding 2025 yang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) lebih tinggi dari jangkaan pada 5.2 peratus.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, trajektori pertumbuhan tahun hadapan didorong oleh keseimbangan antara kekuatan permintaan domestik dan ketidaktentuan persekitaran luaran.

Katanya, permintaan domestik dijangka terus menjadi pemacu utama ekonomi, disokong pasaran buruh yang kukuh dengan kadar pengangguran rendah sekitar tiga peratus, peningkatan gaji serta langkah dasar pendapatan yang menggalakkan perbelanjaan isi rumah.

“Pada masa sama, kitaran pelaburan yang meningkat khususnya perbelanjaan mesin dan peralatan (M&E) berkaitan pusat data dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) bersama projek berbilang tahun sektor awam dan swasta, dijangka menyumbang kepada momentum pertumbuhan.

“Dari sudut luaran, eksport elektrik dan elektronik (E&E) berpotensi mendapat manfaat daripada pemulihan kitaran global semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). 

“Sektor perkhidmatan turut dijangka menerima rangsangan daripada limpahan pelancong sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus meningkatkan aktiviti runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, prospek tersebut juga berdepan beberapa risiko termasuk ketidaktentuan tarif perdagangan global, khususnya melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China, berpotensi menekan prestasi eksport Malaysia yang sensitif kepada kitaran ekonomi kedua-dua negara itu.

Selain itu, sebahagian permintaan eksport yang dipercepatkan pada 2025 dijangka memberi kesan ‘payback’ pada 2026, sekali gus memperlahankan momentum pertumbuhan. 

“Faktor kos juga perlu dipantau, termasuk kemungkinan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), levi buruh serta pelaksanaan semula harga bahan api, walaupun tekanan inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana,” jelasnya.

Sementara itu, CIMB Investment Bank Berhad berkata, KDNK sebenar bagi suku keempat 2025 berkembang sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun, melepasi anggaran awal 5.7 peratus dan juga ramalan paling optimistik 6.0 peratus.

Katanya, prestasi KDNK yang luar biasa melebihi anggaran awal ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor perkhidmatan.

“Kami menyemak naik sedikit unjuran 2026 kepada 4.5 peratus (sebelum ini 4.4 peratus) bagi mencerminkan momentum yang lebih kukuh memasuki suku pertama 2026, namun diimbangi oleh kesan asas yang lebih tinggi pada separuh pertama 2026. 

“Pada masa yang sama, kami mengekalkan jangkaan Kadar Dasar Semalam (OPR) tidak berubah sepanjang 2026 pada 2.75 peratus, disokong oleh prospek inflasi yang sederhana,” jelasnya.

Bank pelaburan berkata, dari segi sejarah, tiga kenaikan OPR luar kitaran secara sekali sahaja sebanyak 25 mata asas berlaku ketika pertumbuhan KDNK melebihi 6.0 peratu dan inflasi utama melebihi 3.0 peratus.

Bagaimanapun, katanya, empat kenaikan kadar faedah berturut-turut semasa kitaran pengetatan 2022 berlaku dalam persekitaran pertumbuhan kukuh dan inflasi yang tinggi.

“Sebaliknya, dinamik pertumbuhan dan inflasi pada suku keempat 2025 lebih menyerupai suku keempat 2012 iaitu tempoh yang tidak menyaksikan sebarang perubahan kadar dalam empat suku sebelum mahupun selepasnya.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan kadar inflasi di bawah dua peratus bagi 2026 akan memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa, dengan inflasi tarikan permintaan yang lebih panas dan berterusan menjadi pencetus utama untuk menilai semula pendirian ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN