IJM Land memperkenalkan IKON Residences di Seremban 2, pembangunan bersepadu pegangan bebas setinggi 44 tingkat yang dilancarkan pada suku keempat 2025 denga nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM360 juta.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, IKON Residences menawarkan 778 unit kediaman dalam rekaan seni bina dua sayap yang elegan, berkeluasan antara 474 hingga 1,184 kaki persegi dan dengan harga bermula daripada RM320,000.
Menurutnya, reka bentuk susun atur dirancang dengan teliti, menggabungkan konsep dwi kunci, dinding boleh ubah dan ruang fleksibel.
“Ia sekali gus memberi pemilik kebebasan untuk menyesuaikan kediaman mengikut keperluan, sama ada untuk kegunaan pelbagai generasi, potensi sewaan atau keperluan gaya hidup moden.
“Diinspirasikan oleh konsep santuari bandar, IKON Residences menggabungkan keseimbangan antara kehidupan moden, kehijauan alam dan semangat komuniti.
“Visi ini mencerminkan aspirasi pemilik rumah masa kini yang menilai kemudahan, fleksibiliti, keselamatan dan rasa kebersamaan sebagai keutamaan.
“Di sinilah kediaman melangkaui sempadan ruang peribadi, membentuk sebuah komuniti bandar bertingkat untuk penduduk menetap, bekerja, beriadah dan menikmati gaya hidup lengkap semuanya dalam satu destinasi,” katanya dalam kenyataan.
Menara IKON Residences terdiri daripada dua sayap dengan ketinggian berbeza yang mencipta profil dinamik pada garis langit Seremban 2.
Di bahagian tengah, teras lif direka untuk pergerakan lancar serta akses terus ke kemudahan utama, manakala pelan lantai linear memastikan privasi dan memaksimumkan pencahayaan semula jadi.
Orientasi utara-selatan pada kebanyakan unit membantu menyejukkan ruang dalaman, manakala penggunaan bahan premium yang dipilih dengan teliti menjamin ketahanan, nilai dan gaya jangka panjang.
Beliau berkata, reka bentuk setiap unit di IKON Residences mencerminkan perancangan pintar yang menekankan keselesaan dan kebebasan.
“Dengan konfigurasi dwi kunci, keluarga pelbagai generasi dapat tinggal bersama tanpa menjejaskan privasi, selain turut memberi pemilik peluang menjana pendapatan sewaan tambahan.
“Dinding boleh ubah pula memberikan fleksibiliti untuk memperluas ruang, manakala zon fleksibel boleh disesuaikan menjadi bilik tambahan, pejabat di rumah atau ruang peribadi mengikut keperluan gaya hidup.
“Setiap inci dirancang untuk berkembang seiring gaya hidup penghuni, menjadikan kediaman ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ruang yang berevolusi mengikut setiap fasa kehidupan,” ujarnya.
Selain itu, IKON Residences turut dirangka dengan pendekatan pembangunan mampan dan cekap tenaga selaras dengan pensijilan GreenRE.
Reka bentuknya menekankan pengudaraan serta pencahayaan semula jadi, penggunaan kaca rendah-emisiviti dan kelengkapan cekap air bagi menyokong keselesaan dalaman serta kecekapan tenaga.
Dari segi kemudahan, pembangunan ini menyediakan pelbagai fasiliti gaya hidup termasuk kolam renang sepanjang 50 meter, gimnasium, ruang kerja bersama serta dek landskap bertingkat yang menyokong gaya hidup aktif dan interaksi komuniti.
Di tengah perbandaran Seremban 2 yang telah membangun selama lebih tiga dekad, IKON Residences berdiri di lokasi paling bernilai, berhadapan IKON @ Centrio, nadi gaya hidup dan komersial paling rancak di kawasan ini.
Kedudukan istimewa ini meletakkan penghuni di tengah-tengah kehidupan moden yang lengkap dengan deretan kafe, kedai, perkhidmatan dan hiburan.
Setiap kemudahan harian, daripada Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf hingga McDonald’s, Village Grocer dan Uniqlo, berada dalam jarak berjalan kaki.
Sementara itu, dari lokasi strategik ini, segala keperluan hidup moden berada dalam jangkauan dengan AEON Mall, Mydin Mall, Hospital Columbia Asia, institusi kewangan, sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, pilihan tempat makan dan kemudahan kecergasan, semuanya berdekatan kediaman.
Rangkaian kemudahan menyeluruh ini membolehkan penghuni menguruskan kehidupan seharian dengan lebih efisien, menggantikan masa perjalanan yang panjang dengan masa berkualiti bersama keluarga, rakan dan aktiviti peribadi.
Dalam pada itu, lokasi strategik IKON Residences turut disokong oleh rangkaian kesalinghubungan yang menyeluruh.
Para penghuni menikmati akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Expressway Lingkaran Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), selain laluan tanpa tol ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kedudukan strategik ini memastikan perjalanan ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya lebih lancar, cekap dan menjimatkan masa, menjadikan urusan harian serta rutin berulang alik lebih mudah dan selesa. – UTUSAN










