JIKA sebut nama Harley-Davidson, kebiasaannya gambaran yang muncul ialah motosikal cruiser dengan gaya rugged, bunyi enjin yang pekat dan karakter yang keras.
Jenama ini sudah lama sinonim dengan identiti tersebut, malah bagi ramai peminat, Harley bukan sekadar motosikal tetapi lambang gaya hidup.
Namun begitu, dalam era moden, Harley-Davidson juga sudah mula keluar daripada zon selesa dan mencuba pendekatan baharu bagi kekal relevan dalam pasaran global.
Langkah berani itu dapat dilihat menerusi kemunculan keluarga Pan America beberapa tahun lalu yang menandakan kemasukan Harley ke segmen Adventure-Touring.
Dari platform yang sama, lahir pula varian yang lebih memfokuskan kepada tunggangan atas jalan raya dengan karakter lebih sport iaitu Pan America 1250 ST.
Penulis berpeluang menunggang uji model ini dan secara jujurnya, pengalaman tersebut benar-benar mengubah persepsi terhadap apa yang mampu dihasilkan oleh Harley-Davidson.
Reka bentuk: Sasa bertenaga, karakter masih jelas Harley
Dari segi rekaan, Pan America 1250 ST masih membawa bentuk asas sebuah jentera adventure, namun sentuhannya lebih kemas dan lebih cenderung ke arah penggunaan jalan raya.
Tubuhnya nampak sasa dengan tangki besar dan posisi handlebar yang tinggi, tetapi apabila ditunggang, rasa keseluruhannya lebih hampir kepada sebuah naked sport berbanding motosikal ADV tradisional.
Ketinggian pelana sekitar 825 milimeter (mm) juga tidak terasa terlalu mencabar, malah masih mudah dikawal ketika berhenti dan bergerak perlahan.
Identiti muka depan yang unik turut dikekalkan supaya model ini tetap mudah dikenali sebagai Harley-Davidson walaupun masuk ke segmen berbeza.
Varian ST ini juga terasa lebih ringan dan lebih tangkas berbanding varian Standard dan Special. Penggunaan rim 17 inci bersama tayar jenis road memberikan rasa cengkaman dan respon yang lebih tepat di atas jalan berturap.
Tambahan pula, enjin Revolution Max digunakan sebagai sebahagian daripada struktur casis, sekali gus membantu meningkatkan ketegaran rangka dan mengurangkan berat keseluruhan.
Hasilnya, motosikal terasa lebih lincah dan mudah diarah ketika mengambil selekoh.

Enjin – Revolution Max 1250, agresif dan sangat hidup
Nadi utama Pan America 1250 ST ialah enjin V-Twin Revolution Max 1250 yang merupakan generasi enjin moden Harley-Davidson.
Unit ini menghasilkan sekitar 150 HP dan 127 Nm serta karakter kuasanya memang jauh berbeza daripada enjin Harley tradisional yang lebih santai. Hantaran kuasa terasa sangat responsif, lancar dari RPM rendah hingga ke atas serta masih mengekalkan tarikan tork yang kuat.
Terdapat beberapa mod tunggangan seperti Standard, Rain dan Sport bersama mod Custom yang boleh ditala mengikut kesesuaian.
Mod Standard sudah cukup seimbang untuk kegunaan harian kerana respon throttle kekal pantas tetapi tidak terlalu mendadak, menjadikan enjin berkapasiti besar ini mudah dikawal.
Apabila ditukar ke mod Sport, barulah sifat agresif enjin V-Twin ini benar-benar terasa, dengan respon throttle yang lebih tajam dan pecutan yang lebih padu untuk tunggangan sporty.

Ciri dan teknologi: Lengkap, bukan sekadar gaya
Dari sudut teknologi dan ciri, model ini dilengkapi paparan TFT bersaiz besar yang jelas dan mudah dibaca, selain menyokong sambungan telefon pintar melalui aplikasi rasmi Harley-Davidson.
Kawalan pada handlebar direka secara ergonomik supaya mudah dicapai ketika menunggang.
Sistem bantuan tunggangan turut merangkumi cornering ABS, cornering traction control, wheel lift mitigation dan kawalan brek enjin elektronik.
Pandangan penulis: Harley yang lebih ‘raw’, lebih sport
Secara keseluruhan, Pan America 1250 ST membuktikan Harley-Davidson mampu menghasilkan motosikal berprestasi tinggi di luar segmen tradisinya.
Ia masih mengekalkan rasa ‘raw’ yang sinonim dengan Harley, tetapi dipadankan dengan teknologi dan talaan moden yang benar-benar berfungsi.
Walaupun bukan sebuah pure sportbike, model ini jelas membawa definisi sasa bertenaga dalam acuan Harley-Davidson sendiri.
Bagi penunggang yang mahukan jentera berkuasa, berkarakter kuat dan berbeza daripada pilihan arus perdana, model ini memang wajar dipertimbangkan.
Dari segi harga, ia ditawarkan bermula sekitar RM116,900 melalui pengedar sah Harley-Davidson di seluruh negara. – UTUSAN










